Amala

Cerpen ini ditulis berdasar kepada kejadian sebenar yang berlaku di sekolah tempat saya mengajar. Kisah benar!

Cerpen
Amala
Oleh Salleh Hashim

PETANG itu Ah Meng beserta lima orang rakan-rakannya bermain bola keranjang seperti biasa.Matahari yang memancar terik ketika mereka baru sampai tadi kini sudah mula mengalah kepada angin petang yang menghembus tubuh mereka. Singlet yang basah lecun dek peluh yang menyimbah-nyimbah ketika mereka bermain tadi mulai mengering kerana tiupan angin segar menerusi padang bola dari arah sebelah sana.
Ah Meng meneruskan permainan tanpa menghiraukan sekumpulan pelajar perempuan yang sudah mula ke padang untuk melakukan senaman dalam pendidikan jasmani. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan berbondong-bondong ke padang diekori oleh Cikgu Jamilah.
“Selamat petang cikgu.” Ah Meng menegur mantan cikgunya pada suatu ketika dahulu.Tahun lepas Cikgu Jamilah adalah guru kelasnya waktu sesi petang.
“Selamat petang.” Cikgu Jamilah membalas teguran Ah Meng. Mata mereka bertentang seketika, ketika itu juga bola keranjang yang melantun dari dinding tempat menyumbatkan bola itu terkena kepala Ah Meng.
“Aduh, sakitnya!!!” Ah Meng mengerang perlahan sambil meraba-raba kepalanya.Cikgu Jamilah kelihatan menahan perut kerana hendak ketawa lucu melihatkan telatah mantan anak muridnya itu.
Namun Cikgu Jamilah meneruskan perjalanan menuju ke padang bola jaring di sebelah sana. Pelajarnya sedang menunggu. Cikgu Jamilah sudah berada di padang ketika suatu bunyi yang agak luar biasa kedengaran menerusi corong telinganya
“PRANG!!!!!!!!”
Ah Meng nampak apa yang sedang berlaku di depan matanya.
II
Cikgu Azizi sedang bermain bola sepak bersama-sama para pelajar lelaki di padang. Cikgu Azizi memang rajin turun ke padang. Umurnya sudah menjangkau 50 –an. Namun usia itu tidak menjadi tembok penghalang baginya bergaul dan bermain bola sepak bersama-sama pelajar yang jauh lebih muda remaja daripadanya. Para pelajar yang sedang bermain bersama-samanya berusia sebaya anak lelakinya yang bongsu.Mereka bermain bersungguh-sungguh. Memanglah benar, jika dikatakan peribahasa ‘orang tua lebih banyak makan garam’, kerana pelajar tersebut hampir mengalah kepada kebolehan Cikgu Azizi menggelecek bola, sekali gus dapat menjaringkan gol walaupun cuba dikawal ketat oleh pemain pertahanan pasukan lawan. Cikgu Azizi hanya menggunakan kudrat yang sedikit, tetapi lebih banyak menggunakan pemikiran dan pengalaman semasa bermain, berbeza dengan pelajarnya yang menggunakan sepenuh tenaga mengejar, menyepak dan menanduk bola.
“Gol!!!!!!!,” pasukan Cikgu Azizi bersorak.
Cikgu Azizi menggenggam tangannya tanda kepuasan. Isyarat badannya itu masih sentiasa kekal, perasaan puas masih dapat dirasakan walaupun sudah beribu kali dia menjaringkan gol sejak daripada zaman remajanya.
“Cikgu Azizi memang hebat,” bisik Azam kepada Amri.
Matahari terik yang sentiasa melontarkan haba kepanasan tidak terasa sama sekali. Mereka begitu ceria ketika di padang bola.Dalam seminggu, sesekali turun ke padang sudah cukup untuk melepaskan tekanan akibat disumbat dengan pelbagai teori di dalam bilik darjah yang kaku dan menghadap papan hitam yang tidak pernah berubah tingkah lakunya itu. Waktu sebeginilah peluang mereka melepaskan segala perasaan dan bebanan yang tertanggung dalam belon minda mereka. Kini belon itu perlu dipecahkan dengan tendangan bola dan jeritan semangat di tengah padang.

“PRANG!!!!!!!!!!”
Bunyi yang agak ganjil kedengaran menyapa gegendang telinga seluruh pelajar yang berada di padang bola.Gegendang telinga Cikgu Azizi turut menyerap bunyi tersebut.
“Mungkin pelajar atau orang luar kemalangan di jalan raya berhampiran sekolah.”Cikgu Azizi bermonolog sendirian.
“Gol!!!!!!”
Pasukan lawan bersorak apabila kali ini giliran pelajar itu meledakkan bola ke jaring pasukan Cikgu Azizi. Cikgu Azizi tersentak. Dia sedang leka sejenak kerana memikirkan bunyi apakah yang kedengaran sebentar tadi, sehingga terlupa mengarahkan para pemain pasukannya bertahan dengan baik. Cikgu Jamilah juga tersentak mendengar jeritan gol daripada pelajar lelaki yang sedang bermain bola sepak itu kerana gelanggang bola jaring bersebelahan sahaja dengan padang bola sepak itu.

III

Cikgu Norita mengajar mata pelajaran Geografi. Cikgu yang cantik jelita itu masih belum mempunyai anak walaupun sudah hampir tahun ke tujuh berumah tangga. Mungkin dia mahu menjaga badan. Kalau melahirkan, sudah pasti susuk tubuh badannya tidak seimbang dengan kecantikan wajahnya. Mungkin itulah sebabnya dia tidak mahu beranak. Fikiran Mastura melayang-layang semasa Cikgu Norita mengajar tentang bagaimana berlaku gempa bumi. Mereka semua berada di dalam bilik darjah tingkatan Satu Amanah . Mastura berangan-angan mendapat sekurang-kurangnya tiga orang cahaya mata jika dia sudah berkahwin dengan jejaka idaman hatinya kelak. Jejaka yang sedang mengisi hatinya bernama Suratman.
“Mastura!”, Cikgu Norita menduga pelajarnya yang sedang berkhayal itu.
“Apakah kesan akibat kejadian akibat gempa bumi di dasar laut yang berlaku di Acheh baru-baru ini?”
“Suratman cikgu.” Jawab Mastura dengan penuh yakin.
“Ha..ha...ha...”, seluruh kelas ketawa berdekah-dekah. Amirul yang selalu mengusik rakan sekelasnya itu hampir bergolek-golek di lantai apabila mendengar jawapan daripada Mastura. Cikgu Jamilah yang berada di gelanggang bola jaring bersama-sama pelajar perempuan juga mendengar deraian ketawa yang kuat daripada kelas Satu Amanah.
“Tentu ada sesuatu yang melucukan,” hati kecil Cikgu Jamilah berkata-kata.

“Itulah, lain kali jangan berkhayal semasa cikgu mengajar.” Cikgu Norita menegur Mastura yang masih terpinga-pinga kerana tidak tahu mengapa seluruh kelas mentertawakan jawapan yang diberikannya. Ternyata dia tidak menumpukan perhatian semasa Cikgu Norita mengajarnya tadi.

“PRANG!!!!!!!!!”
Kali ini semua pelajar tingkatan Satu Amanah terkejut. Bunyi itu terlalu hampir dengan kelas mereka di tingkat satu bangunan Blok K itu. Bunyi apa itu? Dalam hati masing- masing bertanya-tanya. Mereka berpandangan sesama sendiri. Bunyi itu terlalu dekat dengan kelas mereka. Cikgu Norita juga amat terkejut. Hampir terlepas kapur tulis yang dipegangnya. Semua pelajar kelas itu meluru keluar bilik darjah untuk melihat apa yang terjadi. Cikgu Norita tidak sempat untuk menahan mereka lagi.Cikgu Norita juga bergegas keluar dari bilik darjah untuk melihat apa yang berlaku. Bunyi apakah yang sangat luar biasa itu . Belum pernah dia mendengar bunyi yang sekuat dan agak aneh itu.

IV

Petang itu Amala ke sekolah seperti biasa. Dia masih ingat pesanan Cikgu Jamilah supaya membawa pakaian senaman untuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Amala jua masih ingat pesanan Sunthari agar tolong ambilkan lopak penselnya yang terjatuh di atas bumbung susur gajah yang menghala ke dewan sekolah dari bangunan Blok K itu. Semalam ketika mereka bersidai di koridor sementara menunggukan Cikgu Hamidah masuk ke kelas, lopak pensel kepunyaan Sunthari telah terjatuh kerana mereka berebut hendak melihat pensel yang baru dibeli oleh Sunthari. Ketika berebut-rebut itu tanpa sengaja lopak pensel tu terjatuh ke atas bumbung susur gajah itu . Belum sempat mereka berbuat apa-apa , Cikgu Hamidah guru Matematik telah sampai , mereka bergegas msuk ke dalam kelas. Sunthari terpaksa menulis dengan meminjam pensel kepunyaan Amala.
Pada waktu perjalanan ke padang bersama-sama dengan kawan-kawannya, Amala telah mengambil jalan lain kerana teringatkan bekas pensel kepunyaan Sunthari yang masih belum diambil. Tanpa memberitahu sesiapapun Amala melencong naik ke tingkat satu bangunan Blok K. Dia melintasi kelas Satu Amanah. Ketika itu Cikgu Norita sedang mengajar subjek Geografi. Amala juga ternampak Mastura yang sedang berangan-angan. Dia tidak peduli itu semua. Dia ingin ke hujung koridor untuk mengambil lopak pensel kepunyaan Sunthari. Dia rasa bersalah kerana berebutkan pensel itu akhirnya lopak pensel itu terjatuh.
“Nasib baik lopak itu masih ada di situ.” Amala berkata sendirian semasa menjenguk ke bawah di atas bumbung susur gajah yang menganjur menghala ke dewan itu. Ada banyak lagi benda lain di atas bumbung itu. Ada bungkusan gula-gula, getah pemadam, sampah dan sebagainya. Semuanya dibuang ke situ oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.
“Apakah kesan akibat kejadian....”
Amala sempat mendengar suara cikgu sicantik jelita Norita bertanya sesuatu kepada pelajar kelas Satu Amanah.
Ketika itulah Amala cuba membongkokkan badannya untuk mencapai lopak pensel yang kelihatannya boleh dicapai dengan tangan gempalnya itu. Amala menjingkitkan kakinya sedikit lagi untuk mencapai lopak itu. Tidak kesampaian. Amala menggunakan seluruh kekuatan tenaga dan berat badannya untuk mencapai bahagian hujung lopak pensel itu. Kali ini dia tidak dapat mengimbangi berat badannya lalu dia terjungkit sepenuhnya melepasi benteng koridor bangunan Blok K itu, lalu terjatuh ke atas bumbung susur gajah yang menghala ke dewan sekolah itu.
“PRANG!!!!!!!”
Amala terus terjatuh lalu menimpa lopak pensel.Serentak dengan itu bumbung susur gajah itu juga tidak mampu menahan berat badan Amala lalu jatuh bersama-samanya ke lantai simen di tingkat bawah Blok K.
Seluruh pelajar dan penghuni Blok K terperanjat dengan bunyi itu, Cikgu Azizi yang sedang bermain bola di padang terkejut, Cikgu Norita yang cantik itu terkejut. Pelajar Tingkatan Satu Amanah semuanya terkejut termasuklah Mastura yang sedang terpinga-pinga tadi. Ah Meng yang di padang bola keranjang tidak jauh daripada bangunan Blok K juga terkejut. Paling terkejut adalah Cikgu Jamilah, cepat-cepat dia bergegas ke tempat kejadian di hujung Blok K itu.
Amala terjatuh daripada tingkat satu Bangunan Blok K. Tidak sampai kiraan 30 saat hujung Blok K telah dikerumuni oleh ramai pelajar yang datang dari pelbagai sudut sekolah kerana bunyi PRANG !!!! yang kuat itu belum pernah mereka dengar sebelum ini. Pelajar dari padang bola sepak berkejar ke situ, pelajar dari gelanggang bola keranjang juga berkejar termasuk Ah Meng yang tidak sempat berbuat apa-apa walaupun kejadian itu berlaku di depan matanya kerana ia berlaku dengan pantas.Pelajar dari kantin juga berlari-lari anak ke hujung Blok K.
Memang benar Amala telah terjatuh dari tingkat satu. Tubuhnya tergeletak di atas lantai simen lorong pejalan kaki menghala ke dewan sekolah itu. Orang yang pertama sampai sudah pastilah sicantik jelita Cikgu Norita. Kelasnya paling hampir dengan hujung Blok K. Dia tergamam. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Kemudian muncul Ustadz Hassan yang mengajar di blok yang sama. Ustadz Hassan segera memberi bantuan kecemasan. Ustadz Hassan pun tidak berjaya menyedarkan Amala yang sudah pengsan. Bahagian dahi Amala ada beberapa kesan terhantuk dan luka.Ustadz Hassan cepat-cepat mencelapak tubuh Amala dengan bantuan beberapa orang pelajar segera mengalihkan tubuh Amala dari timbunan atap asbestos yang runtuh bersama-sama tubuh Amala.
Cikgu Azizi segera berkejar ke tempat kejadian. Cikgu Jamilah yang bertanggungjawab kepada pelajar pendidikan jasmani telah berada di tempat kejadian. Cikgu Azizi sempat menoleh ke wajah pucat lesi Cikgu Jamilah .Cikgu Jamilah kelihatan panik. Manakan tidak, Amala adalah pelajar di bawah jagaannya.Bagaimana Amala boleh terlepas daripada kawalannya sewaktu pendidikan jasmani dijalankan? Hampir kering darah dari tubuh Cikgu Jamilah. Dia juga hampir-hampir pengsan.
Amala dengan dipangku oleh Sunthari bersama-sama Cikgu Kathy guru bertugas pada minggu itu telah hilang dibawa van kepunyaan Cikgu Kathy ke hospital yang terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah.
Yang tinggal di tempat kejadian ialah serpihan asbestos yang bertaburan, beberapa tompok darah akibat luka di dahi Amala, lopak pensel kepunyaan Sunthari yang cuba diambil oleh Amala juga masih berada di situ dan juga Cikgu Jamilah yang sedang terduduk dengan peluh jantannya terbit sebutir di sudut dahi. Wajahnya masih pucat. Dia terkejut benar dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
“Habislah Cikgu Jamilah kali ini...” bisik hati kecil Cikgu Azizi. Dia menuju ke arah Cikgu Norita meminta agar menenangkan perasaan Cikgu Jamilah, walaupun Cikgu Norita juga masih belum hilang terkejutnya.
“Sabar Jam...” hanya itulah perkataan yang dapat dilontarkan oleh mulut comelnya kepada Cikgu Jamilah. Cikgu Jamilah mulai menangis. Sama ada dia atau siapapun yang bersalah dia akan tetap menjadi sasaran utama pihak yang bakal menyoal siasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Dia guru yang bertanggungjawab ketika kejadian itu berlaku. Sedangkan dia sendiri tidak dapat menerangkan bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku kerana dia berada di padang ketika kejadian. Cikgu Azizi saksinya, pelajar perempuan bermain bola jaring juga saksi utamanya.
“Amala masih di hospital.” Jawab Cikgu Ramlah Penyelia Petang sekolah itu sewaktu Cikgu Azizi bertanya keadaan Amala selepas dua hari kejadian. Beberapa orng guru telah melawatnya. Amala belum dibenarkan pulang. Cikgu Jamilah masih gugup untuk memberi sebarang reaksi. Pada malam kejadian dia tidak dapat tidur. Dia amat resah menunggu apakah hukuman yang bakal diterimanya kelak. Paling tidak mengadap pengetua..., paling mendebarkan ialah bersua muka kedua-dua ibu bapa Amala. Mungkin kepalanya akan ditunjal-tunjal oleh Mr. Rajah bapa Amala ataupun ditengking oleh Puan Ramadevi, ibu Amala. Semua itu mengganggu benaknya sehinggakan dia bermurung pada hari itu. Belum pernah kejadian seumpama itu menimpanya, malah belum pernah pelajar sekolah itu jatuh dari mana-mana tingkat bangunan.
“Bagaimana aku harus menghadapi semua ini.”
Hatinya risau bukan kepalang.
“Aku akan ke mahkamah? aku akan dibuang kerja? Aku akan dikenakan tindakan tatatertibkah?”. Pelbagai andaian menerjah kotak fikiran Cikgu Jamilah yang sudah sedia bercelaru itu. Apa yang hampir pasti adalah dia akan berhadapan dengan dakwaan pihak ibu bapa Amala yang akan menggunakan kesempatan ini untuk menyatakan kecuaian guru mengawasi anak mereka. Jika benar ini berlaku akan berakhirlah episodnya menjadi guru di sekolah.Cikgu Jamilah sedang menghitung-hitung untung nasibnya dengan lengannya terletak di atas dahi sewaktu dia tidak dapat tidur pada malam selepas kejadian itu.
V
Hari ketiga selepas kejadian. Cikgu Jamilah bagaikan tidak percaya dengan berita yang didengarnya. Dia cuba mendapatkan penjelasan daripada Penyelia Petang tentang berita itu. Berita yang juga tidak akan diduga olehnya sama sekali. Dia terkejut untuk kesekian kalinya.
“Amala terjatuh kerana ditolak oleh hantu,” bapa Amala sendiri memberi kenyataan setelah dia bertemu dengan sami di kuil tempat bapa Amala selalu memohon restu. Kuil terkenal di daerah itu telah banyak memberi jasa kepada Mr. Rajah semasa membuat keputusan pada waktu dia buntu. Begitulah laporan berita daripada Penyelia Petang.
“Aaaaa....” mulut Cikgu Jamilah hampir tidak tertutup lagi. Cikgu Jamilah hampir tidak percaya dengan berita itu. Namun di dalam hati kecilnya berbunga suatu harapan baru walaupun dia masih belum sempat melawat Amala di hospital.
“Petang nanti aku akan mengajak Cikgu Norita melawat Amala.”
Walaupun bunyi PRANG!!!! masih mengganggu mindanya. Bagaimana Amala boleh terjatuh juga menjadi igauan tidurnya, kini ditambah dengan kemelut yang mungkin ‘menyelamatkan’ kerjaya gurunya mengapa ibu bapa Amala percaya kemalangan anaknya disebabkan oleh hantu juga merasuk pemikirannya. Sekujur tubuh yang tergeletak di atas lantai simen itu juga masih tersimpan kemas dalam memori mindanya...
“Amala.”






PENGALAMAN MENULIS Cerpen pertama disiar menerusi Majalah Dewan Siswa berjudul ‘Pemenang Sebenar’, beberapa buah cerpen pernah menghiasi majalah tanah air seperti Majalah I ‘Nak Ikut’, juga pernah meraih beberapa hadiah sagu hati dalam pertandingan menulis cerpen seperti Sayembara Penulisan Cerpen anjuran DBP Wilayah Selatan berjudul ‘Asam Pedas, Naga Sungai Muar’, ‘Agi Idup Agi Ngelaban (Berita Harian)Berminat dalam bidang penulisan cerpen berunsur sains fiksyen. Penulis lepasan Universiti Malaya ini sekarang berkhidmat sebagai pendidik di SMK Tun Mamat, Tangkak, Ledang, Johor.

Kongsi Info

Entri Berkaitan

Previous
Next Post »

1 comments:

comments
02 Ogos, 2019 delete Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
avatar

Terima kasih, komen anda sangat dihargai.