Asam Pedas, Naga Sungai Muar

asam pedas, masakan tradisional orang Melayu daerah Muar dan sekitarnya. Sesiapa yang tidak menjamah asam pedas Muar, belum lengkap persinggahannya ke Muar. Inilah asam pedas 'yang paling mahal' pernah dihasilkan.saya memenangi hadiah saguhati RM 500 dengan cerpen ini daripada Sayembara Menulis Cerpen DBP Wilayah Selatan. Nikmatilah keenakan cerpen asam pedas saya ini...

ASAM PEDAS, NAGA SUNGAI MUAR.

“Aku masih ingat peristiwa itu,” kata-kata hampir separuh sebaknya sebaik sahaja Ayub meletakkan surat khabar itu di atas meja.Dia kelihatan seperti cuba mahu menelan sesuatu yang amat pahit di kerongkongnya. Sekali lagi lakaran bigfoot yang ditatap di muka depan surat khabar itu ditenungnya dengan mendalam .
Bigfoot di Kota Tinggi ini mengingatkan Ayub satu peristiwa silam yang dia tempuhi bersama-sama seorang sahabat ketika dia berniaga asam pedas di bandar bersejarah bandar Muar suatu ketika dahulu. Ayub tak sedar perbuatannya telah menimbulkan pelbagai masalah yang akhirnya menyebabkan dia ditahan untuk siasatan pihak polis.Mujur dia hanya dikenakan denda sebanyak lima ribu ringgit.Walau bagaimana pun Ayub sangat menyesal, semenjak peristiwa itu Ayub telah meninggalkan bandar Muar yang penuh kenangan umpama sungainya yang mengalir dengan seribu satu macam isi kandungannya.
Untuk kesekian kalinya Ayub menatap lakaran bigfoot itu. Fikirannya berenang-renang menelusuri tebingan sungai Muar. Sungai yang berpunca dari Tasik Bera negeri Pahang merupakan ‘lebuh raya’ merentasi sempadan negeri Johor malah menjadi laluan Hang Tuah ketika menjemput Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka suatu ketika dahulu.
Mungkinkah cerita bigfoot ini ada persamaan dengan peristiwa yang dialaminya sendiri ketika dia bergelar usahawan asam pedas di bandar Maharani, bandar kelahirannya. Bandar tempat dia berbasikal ke sekolah. Sekolah rendahnya berhampiran Tanjung Mas.Sekolah menengahnya pula megah tersergam berhampiran dengan bangunan mahkamah sekarang yang bersetentangan dengan bangunan Pejabat Tanah binaan penjajah Inggeris.

Sungai Muar yang mengalir dengan pelbagai rahsia sejak zaman Malim Deman mengintai puteri mandi di tasik biru itu sudah menjadi sebati dengan nafas dan kehidupan Ayub.Sungai yang hampir selari dengan Jalan Salleh. Sepanjang Jalan Salleh, Kubu Bentayan, Stesen Bas Pagoh, Jambatan Sultan Ismail, Gerai Makanan yang baru dinaik taraf menuju ke bangunan Majlis Perbandaran Muar, menyeberang ke Bangunan Pejabat Tanah, Masjid Jamek hinggalah ke Tanjung Mas yang berangin lembut menyapa ketenangan jiwa sudah menjadi peta yang bertapak dalam mindanya tanpa dilukis. Malah projek Pasar Rabu mirip Pasar Rabu Alor Star ilham mantan Perdana Menteri Malaysia itu juga sudah kukuh berpasak dalam neuron sereberum otak kanan dan kiri Ayub. Ayub anak jati ‘Muo’. Sebutan ‘Muo’ yang meluncur dari lidah anak jati Muar itu menonjolkan jati diri anak Muar.
“Asam Pedas ikan merah satu!” jerit pekerja Warung Asam Pedas yang memberitahu tukang masak Warung Asam Pedas Bersiut apabila dipesan pelanggan. Ayub memerhati dengan ekor matanya kecekapan tukang masak dan semua pekerja Warung Asam Pedas Bersiut itu.Baginya layanan yang mesra dan perkhidmatan yang pantas menjadi azimat utama menarik pelanggan berkunjung ke warung asam pedas yang mula-mula dibukanya itu. Di kemuncak kecemerlangan perniagaannya Ayub sudah membuka lima buah cawangan warung asam pedas di sepanjang tebingan sungai dari Jalan Salleh ke Jalan Maharani dan bersambung ke Jalan Petri di Tanjung Mas.
“ Meniaga teruklah...” Ayub membuka bicara apabila Basar budak bomba yang kerja shif malam datang untuk makan malam melabuhkan punggung di warungnya tanpa ditanya. Basar tidak memberi sebarang respon. Dia juga turut merasakan kemerosotan perniagaan Ayub Asam Pedas kebelakangan ini. Dia pelanggan tetap Warung Asam Pedas Bersiut kepunyaan Ayub.Kegawatan ekonomi yang melanda negara, kenaikan harga minyak dan kenaikan kos operasi menyebabkan dua warung asam pedas Ayub di Tanjung Mas ditutup.
“ Menteri Besar baru saja merasmikan Restoran Dua Puluh Empat Jam Asam Pedas di Parit Jawa petang tadi. Ramai ‘rakyat’ Muar yang berkunjung ke sana sebab upacara perasmian menawarkan potongan separuh harga untuk asam pedas Parit Jawa.” Basar menghimpunkan derita di dada Ayub yang sudah sedia menanah akibat kemerosotan perniagaannya. Basar mengesip-ngesip kepala ikan merah masak asam pedas di warung Ayub itu. Bagi Basar walau apa pun tawaran dari gerai atau restoran lain, masakan asam pedas dengan resepi istimewa rahsia Ayub memang sudah bertakhta di hatinya. Biar tsunami melanda dia tetap setia dengan Warung Asam Pedas Bersiut milik Ayub. Itu Ayub tak nafikan. Malah jika sebut saja Asam Pedas Bersiut sudah mencucur air liur keluar masuk di kerongkong para penggemarnya. Namun sejak kebelakangan ini warung itu semakin sepi, sesepi Tanjung Ketapang yang hanya dihuni monyet hutan bakau menghala ke barat Tanjung Mas di pinggir bandar Maharani itu. Malah kadang-kadang dia terasa mangu di tengah-tengah hiruk pikuk kenderaan hilir mudik di bandar separuh elit itu.
“ Video gusti, aku dah bukak, lagu pop yeh-yeh berdengung-dengung, kumpulan ghazal pun aku dah sewa ke warung aku ni. Pelanggan masih macam gitu.” Ayub mengeluh lagi. Deruman motosikal kira-kira sepuluh orang anak muda singgah meninggalkan asap sahaja, mereka tak jadi minum di warung Ayub. Basar mengibas-ngibas hidungnya sambil menghembus nafas yang dikunjungi asap motor. “Celaka punya budak, dah le tak singgah, dia bagi asap pulak kat hidung kita.” Sumpahan Basar tidak sampai ke ke telinga yang berkenaan. Yang dapat seranah itu ialah telinga Ayub juga.
“Eh, engkau tolong aku boleh tak?” Ayub tiba-tiba separuh berbisik semakin merapat ke bangku Basar. Solah-olah ada sesuatu yang benar-benar rahsia dan penting.
“Ular!”
“Ular besar!”
“Engkau dah sasau ke, ular nak buat masak asam pedas? Eh, engkau ni dah tak siuman ke? Walau pun aku ni ahli bomba yang kekadang tangkap ular, aku tak tergamak nak makan asam pedas daging ular tau. He... tak mau aku, itu aku tak sanggup tolong... nah kira ni berapa harga makanan ni, aku nak balik, engkau ni Ayub baru tutup dua buah kedai dah mula sasau.” Basar mula melangkah mahu angkat kaki dari warung Ayub.
“ Hei, bukan macam tulah kawan,dengar dulu.”Ayub menahan pergerakan Basar dengan nada suara merayu.
“Dulu kan ada ular besar yang ditangkap dekat Pasar Raya Astana kat tebing sungai ‘Muo’ ni, Ular tu dapat ditangkap ke tak?” Ayub membeliakkan matanya memandang Basar.
“Mana dapat, terlepas, tu yang heboh sekejap tu.” Basar mengulas ringkas.
“Begini...” Ayub mengambil buku catatan mengira harga makanan pelanggannya yang lusuh dilenjan dek jari jemari pekerjanya ketika mengambil pesanan atau pun mengira harga makanan. Ayub mencoret-coret sesuatu di atas kertas itu. Basar memerhati dengan teliti. Basar angguk.. Geleng. Angguk lagi dua tiga kali angguk.
“ Malam ni aku belanja engkau makan.” Ayub menepuk bahu Basar beberapa kali sambil Ayub masih sempat berpesan separuh berkias kepada Basar.
“Engkau kalau nak memukul anjing tu tengok-tengok dulu tuannya...” Basar tetap mengangguk kerana temboloknya sudah hamil dengan ikan pari asam pedas walaupun dia sendiri kurang pasti maksud kiasan Ayub yang bijak berniaga dan bijak berfalsafah itu.Apatah lagi semenjak kemarau melanda perniagaan Ayub kebelakangan ini.




“Besar tong deram tu!” kata Chan Ah Peng kepada Daud.
“ Eh, biasalah tu, aku pernah tengok ular sebesar tong deram.” Engalavarasu menjawab yang sudah bekerja di Majlis Daerah Muar Selatan lima belas tahun lamanya.
“ Ei... yang besar tong deram itu baru dia punya ekorlah.” Suara Basar menyampuk tiga sahabat yang sering ‘ngeteh’ di Warung Asam Pedas Bersiut.
“ Aku, kalau orang lain cakap tak berapa percaya, tapi kalau Basar budak bomba ni aku memang tak nafikan.” Chan Ah Peng membenarkan cerita.
“ Dulu, masa aku dan budak-budak bomba lain terlepas tangkap ular tu kami lihat ekornya dah besar ni ha,” Basar menunjukkan mulut kole di atas meja sekarang dah lima tahun berlalu, memang patut dia membesar lebih lagi.” Basar membulatkan biji matanya menghala ke Sungai Muar yang kelam ditelan planet malam itu.
“Naga kut?” Mahmud askar pencen memberitahu Samad sepupunya. Ketika sepupunya itu mengunjungi Mahmud dan keluarganya di Bukit Kepong. Berita ular besar atau naga itu cepat benar tersebar dari mulut ke mulut sampai ke ulu Muar sempadan Segamat.
“Mungkin juga, tapi macam mana dia boleh hidup di bawah terowong Pasar Raya Astana itu.?” Samad menendang bola pertanyaan kepada Mahmud kawan Basar. Mahmud berkawan dengan Basar sudah lama. Kebetulan mereka berjumpa di pasar awam tingkat bawah Pasar Raya Astana itu Basar membuka cerita.
“ Naga itu makan lebihan ,sisa-sisa ayam, daging, sayur-sayuran dan segala macam sampah yang dibuang oleh peniaga pasar basah di bawah supermarket tu. Badannya kini semakin membesar tak boleh bergerak dengan aktif lagi.” Mahmud menyambut bola pertanyaan Samad dengan kemas sehingga Samad terlopong mulutnya seperti ternganganya pintu gol di padang bola sepak.
“Hari itu seorang pekerja pasar raya tu terkejut apabila botol-botol kicap yang disusun rapi dalam rak-rak tiba-tiba bergoyang dan berlaga sesama sendiri. Mungkin naga itu bergerak lebih sedikit menyebabkan bangunan supermarket tu bergegar. Eiii seramnya aku...” Mahmud merasa-rasa bulu tengkuknya yang meremang.
“Palis...” Samad mengharapkan sesuatu yang buruk tidak akan berlaku. Pekerja supermarket itu selalu menghantar kicap ke kedai-kedai makanan dan warung di sepanjang Jalan Salleh ke Tanjung Mas termasuklah ke warung Asam Pedas Bersiut kepunyaan Ayub.Samad juga pernah mendengar cerita itu dari beberapa orang pekerja supermarket tersebut.
Rakyat Muar gempar. Minggu depan pasukan Bomba dan Penyelamat akan melancarkan operasi menangkap ular sebesar tong deram itu. Atau mungkin sudah menjadi naga. Pawang Ular dari Taiwan telah dijemput untuk menarik perhatian ular itu.Mereka berusaha untuk ‘memanggil’ular itu keluar. Beberapa biji buah limau beserta peralatan memuja kelihatan terletak elok di hujung jeti berdekatan pasar raya itu.
“ Orang putih yang pandai tangkap buaya dalam TV tu pun nak datang. Dia berminat nak tangkap naga tu.” Basar memberitahu jemaah surau Al Imam di kampungnya semasa dia balik bercuti di kampung setelah usai solat Isya’. Kebetulan siri “Crocdile Hunter” sedang sibuk ditayangkan di beberapa buah stesen televisyen. Siri itu mempamerkan kehebatan seorang bekas penjaga zoo beralih arah menjadikan binatang ganas seperti buaya sebagai sahabat baiknya atau sebagai teman tidurnya. Siri itu mendapat perhatian hangat daripada para penonton
“ TV 10 datang nak buat liputan.” Basar menggayakan aksi seorang jurukamera mengambil gambar kedamaian sungai Muar ketika dia makan malam di warung Ayub. Semua mata dan telinga pengunjung warung itu tertumpu kepada cerita Basar.Sah. memang ada naga di bawah sana tu.
“ Terima kasih Basar, wartawan belum datang lagi, warung aku dah penuh. Perniagaan aku dah pulih semula. Harap-harap naga itu betul-betul muncul malam tu nanti. Dapatlah aku buka semula warung di Tanjung Mas yang aku tutup tu.” Ayub berbisik sendirian memandang Basar yang sedang rancak bercerita naga di negeri Cina, ular lidi, ular sawa dan pelbagai jenis ular lagi.
Mana-mana warung dan kedai kopi, surau ,masjid, pejabat dan sekolah orang ramai bercerita tentang naga di sungai Muar.Heboh. Cuaca yang mendung beberapa hari kebelakangan ini menambahkan lagi daya penarik cerita tersebut. Jika benar naga keluar pasti hujan ribut turun tak henti-henti selama beberapa hari.Mungkin naga itu akan menyebabkan ribut turun, kilat sabung menyabung dan lautan bergelora, macam dalam cerita Putera Besar Lahir Ke dunia.
Angin ribut bertiup kencang,maka Tuan Puteri pun lalu pengsan tiada khabarkan dirinya,lalu berputera seorang lelaki membawa sebilah parang puting di tangannya.
Tiga bilah lantai patah
Tiga gelegar yang patah,
Sampai masuk ke dalam bumi tujuh hasta. Maka huru hara lah bunyinya di dalam istana baginda, laksana katak diharung ular oleh jerit pekik raung sawan inang pengasuh dan dayang-dayang Tuan Puteri tiada terhinggalah lagi.
Itu baru kelahiran seorang putera. Inikan pula keluarnya seekor naga yang ekornya sahaja sudah sebesar tong deram kepunyaan Pak Khamis nelayan yang selalu mengisi tong deramnya dengan minyak disel mencari rezeki di Selat Melaka menerusi kuala Sungai Muar ini.Tentu lebih dahsyat lagi.
Warung Ayub yang paling hampir dengan bangunan pasar raya tersebut kini menjadi tumpuan beratus-ratus orang entah dari mana datangnya. Ayub sendiri tak tahu dari mana mereka datang.Ayub tak peduli itu semua, yang penting kantungnya penuh.Basar pula semakin galak ke kedainya kerana sudah hampir dua minggu dia makan free di situ. Ayub berpesan kepada semua pekerjanya jika Basar makan apa sahaja jangan minta bayaran.Biarkan dia melahap apa yang dimahunya.
Heboh benar kisah ular naga yang telah menghuni terowong bawah bangunan itu. Mungkin ada kebenarannya. Mungkin dahulu ular itu biasa sahaja saiznya. Hal ini kerana sewaktu bangunan itu dibina ada beberapa ekor ular yang terperangkap oleh jaring atau pukat nelayan yang dibuang tanpa pengawasan pihak berenaan. Mungkin ular itu semakin membesar dan kini ruang di bawah bangunan itu sudah sempit untuknya. Itulah sebabnya pada suatu hari botol-botol kicap di atas supermarket itu berlaga-laga akibat pergerakan ular besar atau naga tersebut. Munasabah.
Malam yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Menurut Basar, pihak televisyen swasta, krew syarikat penggambaran dari luar negara yang membawa orang putih gila buaya itu juga akan tiba. Hampir seluruh masyarakat Muar telah bersiap sedia untuk mengetahui perkembangan selanjutnya kisah ular yang bertapa di dalam terowong bawah bangunan pasar raya itu. Orang ramai sejak awal lagi sudah memenuhi kaki lima kedai-kedai di sepanjang Jalan Salleh. Apatah lagi Warung Asam Pedas Bersiut, tidak putus-putus dipenuhi para penggemar asam pedas dan juga penggemar berita sensasi. Ayub duduk tersenyum lebar memerhatikan segala telatah manusia yang berpusu–pusu hendak melihat naga Sungai Muar.
Anak-anak muda dari daerah berhampiran Muar seperti Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Tangkak, Jasin dan bandar-bandar bersempadan dengan ‘Muo’ telah berkhemah sejak jam tiga lagi di sepanjang Jalan Salleh, Kota Bentayan,Jalan Maharani dan merayau-rayau di pasar raya Astana.Mereka yang datang dari ceruk kampung ‘Muo’ juga telah bersila di bahu-bahu jalan. Anak muda dari Sagil, Bukit Kepong, Lenga, Kampung Kolam, Sungai Mati, Bukit Serampang, Parit Jawa, Parit Botak, Parit Amat dan pelbagai macam parit lagi telah menunggu dengan setia di sekitar bandar Muar. Operasi menangkap ular atau naga itu akan bermula sebaik sahaja para pekerja pasar raya mengosongkan bangunan tersebut. Mungkin sekitar jam sepuluh malam ke atas, mungkin sampai pagi.
Tiba-tiba orang ramai berkumpulan bergerak menuju ke suatu arah . Kelihatan orang ramai berkerumun. Para wartawan dan jurugambar yang sedang minum-minum di warung kelam kabut menalakan lensa kamera masing-masing. Ular naga sudah keluar agaknya. Setelah disuak-suak orang ramai yang berkerumun, rupa-rupanya berlaku pergaduhan kecil dua orang anak muda dengan seorang nelayan yang sedang melelapkan mata di kaki lima sementara menunggu hendak ke laut. Anak muda itu tersepak kaki nelayan yang sedang enak dilamun mimpi. Pergaduhan kecil itu telah menyebabkan keadaan di sepanjang Jalan Salleh semakin sesak. Ada yang hendak melihat ular naga, ada yang hendak melihat pergaduhan, ada yang meninjau-ninjau dan bermacam-macam lagi.Setelah agak aman, mereka dua anak muda itu menuju ke warung Ayub untuk melegakan perasaan dan menghilangkan dahaga serta panas akibat pertengkaran tadi.
“Lagi lama mereka nak tangkap ular itu lebih baik” Ayub tidak dapat menyembunyikan lagi rasa gembiranya. Dia bertukar menjadi tamak. Seolah-olah dialah naga yang sebenarnya mahu membaham duit para pengunjung warung asam pedasnya.
“Kalaulah tiap-tiap hari begini ramai orang berkunjung ke warung aku...” Ayub terhenti lafaznya di situ dia tak dapat menzahirkan apa yang bakal berlaku dengan rezekinya yang berganda-ganda semenjak berita ular naga itu mula menggoyang bangunan pasar raya itu. Ayub sudah mula mengira-ngira dia akan menambah tiga buah warung cawangannya di seberang sungai itu pula. Tanjung Agas. Di situ pun ramai pekerja kilang elektronik yang berulang alik tiap-tiap hari. Sudah tentu warung asam pedasnya akan menjadi tumpuan mereka. Dia akan menamakan warung ke enamnya itu dengan Warung Asam Pedas Naga Berasap sempena peristiwa naga yang berkokok di bawah bangunan itu.Angan-angan Ayub lenyap apabila dia teringatkan Basar yang sudah lama ponteng makan malam di gerainya itu.
“Ke mana pulak menghilangnya si Basar ni, dah dua tiga hari aku tak nampak kelibatnya.” Ayub bertanya kepada Chan Ah Peng dan Engalavarasu. Mereka berdua mengangkat bahu. Perbualan mereka tenggelam dek keramaian orang yang sibuk mengunjungi sepanjang jalan dari Jalan Salleh hinggalah ke Tanjung Mas. Anak beranak, kecil besar, tua muda berduyun-duyun selepas solat Isya untuk menyaksikan peristiwa penting yang bakal menjadikan Muar sebagai salah satu tumpuan manusia dari dalam negara mahupun luar negara. Jika tidak masakan orang putih tu sanggup menyeberang lautan semata-mata nak datang ke Muar kerana menikmati angin lembut di Tanjung Mas sahaja.


“Mana ada, menyesal aku pergi...!
“ Bukan ular yang besar... pembohong yang besar”
“Aku menunggu sejak senja santak ke subuh, satu ekor ular lidi pun tak de..”
“ Nyaris aku dibuang kerja sebab ponteng nak tengok naga Sungai Muar”
Macam-macam perbualan yang ditelinga oleh Ayub. Dia hanya tersenyum-senyum di dalam hati. Dia meraba-raba dompet duitnya yang kembung selama hampir sebulan heboh tentang naga Sungai Muar. Asam pedasnya yang sudah cair, tidak ada rasa lagi pun menjadi santapan orang ramai kerana lapar dan penat menunggu kemunculan naga Sungai Muar.Setelah berjam-jam menunggu, sisik naga pun tak muncul apatah lagi asap naga. Pasukan penyelamat dan bomba pun tak muncul-muncul. Orang putih yang lancang mulutnya itupun tak kelihatan. Orang ramai rasa tertipu. Mereka terkilan tak dapat menengok dengan mata kepala mereka sendiri ular besar itu ditangkap.
“Yang aku hairan tu, ke mana menghilangnya si Basar sejak kebelakangan ini...” Lazimnya, dialah yang bertunggu tangga melepak kat bangku di hujung warung yang ditambah soyok oleh Ayub sempena menampung jumlah pengunjung yang luar biasa.
“ Dia kena patuk ular ketika menunjukkan kepada orang ramai tempat dia dan kawan-kawannya menangkap ular di terowong itu dulu.” Engalavarasu melaporkan perkembangan terkini kepada Ayub yang sedang menghitung keuntungan berganda-ganda sejak kebelakangan ini.
“ Ha...! di mana dia sekarang,?” Ayub agak pucat bertanya.
“ Di sepital ‘Muo’.” Chan Ah Peng menjawab tanpa mengetahui sebutan hospitalnya itu tidak mengikut bunyi yang betul.
“Maafkan aku Basar... aku tak sangka rancangan aku telah menyebabkan engkau kini terlantar di hospital. Aku hanya mementingkan keuntungan.” Ayub mengunjungi Basar setelah dia mengarahkan pekerjanya menutup warung lebih awal pada malam itu.
“Mana aku tau, aku fikir aku dapat makan free sudah cukup, rupa-rupanya punyalah ramai orang percaya naga Sungai Muar akan muncul pada malam itu sampaikan aku lupa diri. Aku dah dapat balasan. Aku tobat tak mahu buat lagi Ayub.Engkau cari lah orang lain untuk menyebar khabar-khabar angin ini.” Basar cuba untuk mengangkat tangan untuk bersalaman dengan Ayub sewaktu ayub hendak pulang. Ketika itulah Ayub ternampak tangan Basar tersangkut di besi penjuru katil. Bergari.
“ Polis dah datang siasat aku, aku dituduh menyebar khabar-khabar angin yang menyebabkan ramai pihak percaya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sepanjang malam itu. Aku menyesal Ayub.” Basar melafazkan kata-kata penyesalan.
“ Sekarang aku baru mengerti maksud nak memukul anjing tengok-tengok dulu tuannya yang engkau pesan pada aku dulu.” Basar menambah.
Ayub menitiskan air mata kerana terharu dengan kejadian yang menimpa sahabatnya itu. Kerana hendak menolong seorang kawan memajukan perniagaannya kini dia mendapat pelbagai kesusahan pula.Malah tindakannya umpama membungkus api, lambat laun rahsia mereka berdua diketahui orang juga.Ayub menjeling ke kiri kanan dengan ekor matanya . Bimbang kalau-kalau ada anggota polis yang memerhatikannya pula.
“Encik Ayub anda ditahan untuk siasatan kerana bersubahat dengan Encik Basar menyebar khabar-khabar angin sehingga hampir mencetuskan huru hara.Mari ikut kami ke balai.”

“Ambil duit ini,” Ayub mengunjukkan not lima ringgit kepada anak peniaga warung tempat dia minum.
“Jangan heboh-hebohkan cerita bigfoot ini ya, biar pihak yang berkenaan dan bertanggungjawab menyiasatnya.” Ayub memegang erat-erat tangan anak muda yang kebingungan dengan pesanan orang yang tak dikenalinya itu. Ayub mempercepatkan langkahnya meninggalkan warung itu apabila dia melihat kelibat dua orang Mat Salih lengkap berkamera bertanya sesuatu kepada salah seorang pelanggan di warung itu. Di tangan kedua-dua orang putih itu tergenggam erat surat khabar berbahasa Inggeris yang turut memuatkan lakaran gambaran seram makhluk misteri berbulu perang itu.
“Jangan-jangan ...” Ayub semakin pantas bergerak meninggalkan warung mirip reka bentuk warungnya di ‘Muo’ suatu ketika dahulu.

Kongsi Info

Entri Berkaitan

Previous
Next Post »

Terima kasih, komen anda sangat dihargai.