ANUGERAH SASTERA JOHOR

ANUGERAH Sastera Johor, adalah antara penghargaan seseorang yang bergiat aktif dalam dunia penulisan dan budaya di negeri Johor Darul Takzim. Syukur, kali ini saya adalah antara penerima anugerah tersebut. Walaupun hanya pemenang bagi kategori kecil, namun saya sangat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut. Mudah-mudahan akan mendorong saya meneruskan perjalanan kerjaya berdakwah menerusi tulisan ini ke peringkat yang seterusnya. Terima kasih kepada Hamesa Farani dan anak-anak saya. Semuanya dengan izin Allah jua. Sebagai kenang-kenangan bersama-sama ini saya lampirkan puisi yang membawa saya mencapai anugerah ini. ALMARI DIKSI Kuselak helaian kata berjuta makna dan warna setelah membuka pintu bijaksana kuncinya kemahuan jiwa lalu kupakai pada bicara kupamer aksara pada seloka untuk tatapan menggoda kekasihku di istana ilmu kupilih frasa busana kendati usang di sana justeru sutera diksiku tiada susut nilai maknanya Almari diksi terus kuselongkar bahana dahaga dalam jiwa demi santapan rohani dan minda hadiah istimewa buat seteru dan tetamu Almari diksiku belum pernah susut walau kupakai berjuta kali baik yang arkaik mahupun yang moden kukutip setiap tanda bacanya kuangkat di bejana permata kusiram menjadi ceritera almari diksi tak kan penuh kerana tukang jahitnya maha seni dan halus. SALLEH HASHIM JOHOR DARUL TAKZIM FEBRUARI 2016

Kongsi Info

Entri Berkaitan

Latest
Previous
Next Post »

Terima kasih, komen anda sangat dihargai.