http://dwnbahasa.dbp.my/?p=1045
ARTIKEL PENUH:
Bahasa Rojak: Punca
dan Cara Mengatasi
Oleh : Cikgu Salleh
Hashim
(Guru Cemerlang Bahasa
Malaysia)
Secara umumnya apabila kita membicarakan bahasa rojak tentulah merujuk kepada sesuatu bahasa yang bercampur aduk digunakan dalam tulisan dan juga secara lisan. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah memberi amaran iaitu kesan daripada penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu.(11 Oktober 2012). Kenyataan daripada seorang tokoh pendidik dan pemimpin nombor dua terulung di negara yang mengamalkan semua urusan rasminya dalam bahasa Malaysia itu tidak harus dipandang remeh. Penggunaan bahasa rojak sudah semakin sebati dan menjadi barah bahkan bagai api di dalam sekam yang membakar senyap hingga merosakkan kekuatan sesuatu bahasa tersebut.
Meninjau
dari perspektif sejarah, kita tidak dapat mengelak penggunaan bahasa rojak
seawal penjajahan ekonomi ketika kedaulatan Melaka sebagai sebuah empayar
entreport sewaktu ketika dahulu. Seawal tahun 1402 Melaka negeri pelabuhan ini menarik
ramai pedagang yang secara keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa dari
pelbagai bangsa dan budaya. Pedagang dunia dan penduduk yang mengunapakai
pelbagai bahasa dalam satu perbualan amat biasa berlaku. Mengikut kata
Ensiklopedia Malaysia (vol. Bahasa dan Budaya) ini merupakan sebahagian
daripada bahasa
penghubung yang dikenali
sebagai Bahasa Rojak di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya
alihannya, seseorang mungkin memulai perbualan dalam bahasa Melayu dan kemudian
menyambung dengan bahasa Inggeris, dan
seterusnya mencampurkan satu atau dua perkataan bahasa Kantonis dan bahasa Tamil dan menamatkan
ia dengan istilah bahasa Mandarin atau bahasa Jepun. Semasa
pemerintahan Parameswara apabila dua kumpulan pedagang tanpa satu bahasa
kongsian, mereka akan cuba untuk bertutur dalam apa jua bahasa untuk mendapat
keputusan yang terbaik dalam memahami antara satu sama lain, dan hasilnya
mungkin suatu pijin atau rojak. Oleh hal yang
demikian bahasa rojak aeakan-akan tidak dapat dielakkan lagi ketika itu demi
tujuan komersial dan perdagangan antarabangsa. Malahan suatu ketika orang-orang ini
datang menjelang 1511, Melaka mempunyai jumlah penduduk 50,000 termasuk
komuniti pedagang yang bertutur 84 bahasa.
Penjajahan Portugis, British, Jepun
terus menyuburkan pokok bahasa rojak di
negara kita. Portugis telah mengekalkan bahasa dan budayanya di negeri Melaka
sehingga ke hari ini. British datang dengan pengaruh bahasa Inggerisnya. Jepun
pula terkenal memaksa sekolah Jepun dan tulisan kanji kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu.
Dengan alasan itu bahasa rojak memang tidak dapat dielakkan. Kelangsungan
survival menjadikan bahasa rojak terus subur tanpa dibaja oleh sesiapapun.
Malahan para penulis novel pun turut mempraktikkan amalan bahasa rojak dalam
karya mereka sama ada secara sedar atau pun mahu menyerapkan budaya saling memahami
dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Isu
bahasa rojak berlanjutan apabila pihak media turut menyumbang kepada
percambahan biaknya. Penggunaan Sure
Heboh dalam media pernah menjadi polemik yang berpanjangan, sehinggalah
pihak kabinet masuk campur dalam meredakan keadaan. Zaman mellenium turut
menyaksikan banyak media terutama komik yang meremehkan penggunaan bahasa
Melayu .
Sebagai memetik beberapa ayat yang amat
biasa kita dengar, masyarakat kita memang sudah sebati dengan penggunaan bahasa
rojak. Sebagai contoh Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)
- Kau memang terror (hebat) la!
- Tempat makan ni best (bagus) sangat!
- Kalau belum try (cuba) tita tidak tahu
Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina)
- Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
- Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!
- Apasal (Kenapa) lu buat ini kerja cincai (tak sempurna)?
Sebenarnya secara halus juga sistem sosial sedikit sebanyak menyumbang
kepada penggunaan bahasa rojak, malahan seperti menggalakkan supaya
masing-masing dapat belajar bahasa ibunda orang lain dengan cara yang lebih
santai. Masyarakat kita lebih mudah berkomunikasi dalam bahasa rojak demi
mengeratkan hubungan dalam masyarakat. Kehidupan berjiran dalam sesebuah
kawasan perumahan misalnya seolah-olah memaksa kita mempraktikkan amalan
penggunaan bahasa rojak. Dalam sebauhkawasan perumahan terdiri daripada biasanya
tiga kaum utama. Melayu apabila bertemu dengan orang Cina akan menegur ikut
dialek kecinaan agar nampak lebih mesra. Begitu juga apabila betremu dengan
orang India. Akhirnya bahasa yng tidak rasmi wujud sesama mereka kerana bukan
mahu, tetapi demi menjaga keharmonian antara kaum yang tinggal setempat. Inilah
ironisnya apabila mahu menjaga hati sesama kaum , bahasa sendiri tergadai
olehnya.
Satu lagi penyebab bahasa rojak menjadi dominan dalam
kalangan masyarakat adalah apabila berlakunya sesuatu urus niaga yang hanya
mengutamakan keuntungan. Kepada para peniaga dan ahli perniagaan yang besar,
apa yang lebih penting dalam urusan mereka adalah proses transaksi kewangan
yang berlaku tanpa komunikasi sihat. Asalkan sahaja barang atau perkhidmatan
mereka laku, walau bahasa apa pun yang digunapakai tidak menjadi halangan. Cuba
kita pergi ke pasar basah. Cuba kita rakamkan perbualan orang di pasar. Bahasa
apakah yang digunakan di sana. Adakah mereka menggunakan bahasa baku atau
bahasa pasar. Siapakah peniaga yang paling berjaya , mereka yang menggunakan
bahasa baku atau bahasa rojak? Jawapannya sudah pasti ada dalam minda kita
semua. Bahasa rojak!
Sifat bahasa Melayu itu sendiri
memberi sumbangan kepada penggunaan bahasa rojak. Bahasa Melayu amat mudah
menyerap apa-apa sahaja perkataan asing dalam kosa katanya. Bahasa Arab, bahasa
Cina, Tamil, Inggeris, Siam, Jawa, malah Portugis dan Sepanyol amat mudah kita jumpai dalam bahasa
Melayu. Kesan positifnya ialah memperkaya kosa kata, tetapi kesan tidak baiknya
ialah bahasa kita menjadi rojak. Sehinggakan bahasa kita, malahan bangsa kita hampir
kehilangan identiti. Manakan tidak, bukankah ungkapan tersohor sering diuar-uarkan
iaitu bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa...
Dalam bidang
penyiaran masalah bahasa rojak menjadi semakin serius.Tiga aspek permasalahan
itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam sistem pendidikan swasta dan
ketidakseragaman bahasa penyiaran. Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan
bahasa Inggeris merupakan gejala paling menyedihkan dalam penyiaran, malahan
dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi
- kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa
kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa
Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris.Keadaan ini, akan menggagalkan
usaha mewujudkan bahasa baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa
Melayu.
Apabila Timbalan Perdana Menteri menyelar mereka yang mengamalkan
penggunaan bahasa rojak sebagai suatu petanda buruk kepada bahasa berkenaan.
Suatu yang amat menyentuh. Pemimpin negara itu telah menghidu sesuatu yang
tidak elok pasti akan berlaku jika isu bahasa rojak ini tidak ditangani sebaik
mungkin.Mari kita lihat betapa seriusnya masalah yang berlaku apabila bahasa
rojak dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita, sekadar contoh untuk
menguatkan hujah yang kita akan hilang kekuatan bahasa yang kita sayangi.
Lirik Lagu
Kantoi - Zee Avi
Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when I called Tommy he said it wasn't true
So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai... you, you tak ada
Lagi la I jadi gila
So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at the gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain
Sudahlah sayang, I don't believe you
I've always known that your words were never true
Why am I with you?
I pun tak tahu
No wonder la my friends pun tak suka you
So I guess that's the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tahu she was cheating too
With her ex boyfriend's best friend, Tommy...
Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when I called Tommy he said it wasn't true
So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai... you, you tak ada
Lagi la I jadi gila
So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at the gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain
Sudahlah sayang, I don't believe you
I've always known that your words were never true
Why am I with you?
I pun tak tahu
No wonder la my friends pun tak suka you
So I guess that's the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tahu she was cheating too
With her ex boyfriend's best friend, Tommy...
Lirik Lagu Kantoi - Zee Avi (Kokokaina)
Terbaharu, tanpa disedari usaha kerajaan yang mahu memajukan negara dalam
pelbagai aspek pembangunan negara juga ‘menjemput’ bahasa rojak dengan sengaja.
Pendatang tanpa izin (PATI) dan warga asing dari bangladesh, India, Nepal,
Myanmar, Vietnam, Kampuchea, Indonesia, Filipina yang bergaul seperti rojak
petis menyegarkan lagi bahasa rojak yang
sedia ada.
Langkah mengatasi
Rasa menjadikan bahasa Malaysia sebagai wasilah perhubungan dalam semua
bidang khususnya pentadbiran, undang-undang dan perdagangan. Sebagai rakyat Malaysia
kita patut sangat berasa bangga kerana bahasa ini telah digunapakai untuk
hampir kesemua urusan rasmi dalam pentadbiran, undang-undang dan perdagangan.
Dalam bidang pentadbiran pelbagai pihak menyuarakan rasa bangga apabila ada
dalam kalangan wakil rakyat yang berbangsa Cina bertutur dengan fasih dalam
bahasa Malaysia di parlimen. Begitu juga halnya terdapat beberapa orang pensyarah
yang pakar dalam bahasa Malaysia walaupun mereka berbangsa asing. Manakala
dalam bidang undang-undang hampir semuah mahkamah telah melaksanakan sepenuhnya
penggunaan bahas Melayu ketika perbicaraan dijalankan. Hanya dalam bidang
perdagangan mungkin penggunaan bahasa Malaysia agak berkurangan kerana pengaruh
bahasa perdagangan itu sendiri menenggelamkan bukan sahaja bahasa Malaysia
malah hampir semua bahasa lain di dunia. Bahasa yang dimaksudkan mempunyai
nilai komersial yang tinggi adalah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Salah satu pilihan terbaik mengatasi masalah bahasa rojak ialah dengan Pindaan Akta Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk
menangani penggunaan 'bahasa rojak' dalam kalangan masyarakat kita. Namun
begitu harus difahami ,kuasa itu bukan untuk menghukum, sebaliknya lebih kepada
memberi pendidikan. Dengan itu, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang
sangsi terhadap usaha berkenaan agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.Kenyataan
Dr. Mohd Puad Zarkarshi semasa mengulas isu ini mendapat sokongan banyak pihak.
Rata-rata mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam perkembangan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan menyokong kenyataan
tersebut. Maka adalah jelas bahawa rakyat bersama-sama mencintai bahasa Melayu
bukan kerana undang-undangnya, tetapi kerana bahasa Melayu sebagai wahana
komunikasi antara mereka, yang menyatukan mereka dan juga menjadi alat
perolehan ilmu bagi mereka. Oleh itu, usaha penguatkuasaan hanya salah satu
cara untuk memantapkan lagi penggunaan yang betul dalam bahasa Melayu tetapi
usaha-usaha lain haruslah diteruskan bagi mewujudkan dan membina rakyat
Malaysia yang betul-betul memahami aspirasi bahasa jiwa bangsa,” katanya.
Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga
dengan gejala penggunaan bahasa rojak ini. Gejala ini dapat ditangani dengan
menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat
rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, termasuk Perdana Menteri,
menteri-menteri kabinet, malahan golongan istana seharusnya menunjukkan teladan
yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa
dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa Melayu yang
betul. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan
perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini
akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat
menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul
oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.
Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu
berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus
dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan
kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hal ini
demikian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima
perkataan-perkataan asing seperti Inggeris, Cina, India, Arab dan sebagainya
bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung
tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya
daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan
bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang
bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini
dapat diatasi.
Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan
bahasa rojak digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh
media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program televisyen, filem dan
drama yang menggunakan bahasa rojak akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini
disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya,
program-program televisyen yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh
ditayang keluar sekurang-kurangnya digam atau diubahsuai judulnya. Sebagai
contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” , “Showdown”dan “Akademi
Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum
disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan
oleh pihak media massa.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak yang berleluasa telah mencemari martabat
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan
bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua
pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama
bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini
sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa
Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat
global. Bahasa Melayu yang lebih lunak disebut bahasa Malaysia kini telah menjadai
global sifatnya malang sekali di peringkat akar umbi bahasa itu menjadi semakin
membusuk kesan penyakit bahasa rojak yang menyerang tanpa diberikan penawar
mujarab dengan segera. Janganlah sampai Timbalan Perdana Menteri bertukar
menjadi Perdana Menteri, Perdana Menteri bertambah bilangan angka pengganti,
namun isu bahasa rojak masih di takuk lama tanpa diusahakan dengan
bersungguh-sungguh mengatasi.
LAMPIRAN:
Terima kasih, komen anda sangat dihargai.