Sasterawan Negara Usman Awang

 
al- Fatihah...sajaknya Ke Makam Bonda, Guru Oh Guru, penyair yang sederhana dalam menyampaikan ketegasan terhadap soal kemanusiaan. Indahnya bahasa yang disusun.Saya pernah mendengar dia mendeklamasikan sajaknya, lembut , segar, penuh makna tanpa menjerit, suara kemanusiaannya di dengar ke seluruh pelosok alam.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Posted by Picasa

Kongsi Info

Entri Berkaitan

Previous
Next Post »

3 comments

comments
16 Mac, 2010 delete

sman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari& menjual rotan pada waktu musim tengkujuh.Usman melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.

Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.

Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.

Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.

Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.

Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
(wikipedia)

Reply
avatar
16 Mac, 2010 delete

SUMBANGAN USMAN AWANG
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.

Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya. Dengan menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya, beliau pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.

Ketokohan Usman Awang menonjolkan kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang. Usman adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.

Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, China dan Rusia, sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Peranchis, Thai, Czechkoslovakia, Danish, Tamil, Itali, Rusia dan lain-lain. Beliau di anggap sebagai seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera yang tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara.

Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.

Reply
avatar
16 Mac, 2010 delete

SIFAT
Dato' Usman merupakan seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis.

Antara lain, Dato Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”

Dato' Usman Awang, penyair yang berjiwa rakyat meninggal pada 29 November 2001 pada bulan Ramadan. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Reply
avatar

Terima kasih, komen anda sangat dihargai.