PENDAHULUAN KARANGAN : 3

Ada yang bertanya... menulis pendahuluan dengan menggunakan puisi. Menarik. Soalan yang bagus. Pada pendapat saya, menulis sesuatu dengan menggunakan puisi adalah lambang penulis tersebut seorang yang amat prihatin dan sangat teliti. Anda tentunya peminat penyair atau penyajak. Pastikan puisi yang anda turunkan adalah puisi sebenar daripada penyair tersebut. Jika anda memilih penyair seperti A Samad Said, puisinya berjudul Tetamu Senja sangat popular turut didendangkan oleh kumpulan Kopratasa. Jika anda memilih Sasterawan Negar Usman Awang, pastikan anda menghafal bait demi bait puisi beliau yang jika anda tersilap sedikit, pembaca akan mengesan kelemahan anda. Jangan lupa abadikan nama penulis puisi tesebut dalam pendahuluan anda. Tanda kita menghargai karya puisi beliau yang membolehkan kita menulis sebuah pendahuluan karangan dengan puisinya. Kalau boleh pilihlah sajak atau puisi yang segar dan puisinya relevan dengan tajuk karangan yang kita pilih. Jika memilih tajuk tentang alam sekitar, tentu penyairnya seperti Keindahan Yang Hilang oleh Shamsuddin Jaafar.
Malam hiba dadanya ungu luka pungguk tersedu pilu di atas batu bulan tiada lagi mendandan wajah bintang malam pudar sinarnya. Begitulah antara bait puisi penuh kesedihan bertemakan pencemaran alam sekitar oleh penyair Shamsuddin jaafar tentang kerakusan sikap manusia yang menjadikan alam sekitar musnah di tangan mereka. Pencemaran alam sekitar bukan lagi sekadar polemic di atas dada akhbar semata-mata, justeru telah menjadi fenomena sehingga meragut nyawa. Hendak menulis puisi sendiri pada bahagian pendahuluan karangan. Silakan. Pastikan puisi anda asli dan menyentuh perasaan pembaca. Jika anda ragu-ragu, eloklah pinjam sahaja kekuatan maksud penyair yang sudah mampan. Mereka pasti berasa bangga puisi mereka dijadikan sandaran oleh para penulis lain.