BAHASA ROJAK

BAHASA ROJAK

artikel saya yang baru disiarkan dalam majalah Dewan Siswa Disember 2012
http://dwnbahasa.dbp.my/?p=1045

ARTIKEL PENUH:




Bahasa Rojak: Punca dan Cara Mengatasi
Oleh : Cikgu Salleh Hashim
(Guru Cemerlang Bahasa Malaysia)

MENURUT Kamus Dewan rojak bermaksud rojak I 1. sejenis makanan daripada buah-buahan mentah dan sayur-sayuran campur yang berkuah: ~ manis; ~ ulek; 2. berupa sesuatu yang bercampur aduk: eh, ini majalah ~! Atau pun  rojak II; merojak menumbuk (sirih);perojak; ~ sirih penumbuk sirih, gobek.
            Secara umumnya apabila kita membicarakan bahasa rojak tentulah  merujuk kepada sesuatu bahasa yang bercampur aduk digunakan dalam tulisan dan juga secara lisan. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia telah memberi amaran iaitu kesan daripada penggunaan bahasa rojak akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu.(11 Oktober 2012). Kenyataan daripada seorang tokoh pendidik dan pemimpin nombor dua terulung di negara yang mengamalkan semua urusan rasminya dalam bahasa Malaysia itu tidak harus dipandang remeh. Penggunaan bahasa rojak sudah semakin sebati dan menjadi barah bahkan bagai api di dalam sekam yang membakar senyap hingga merosakkan kekuatan sesuatu bahasa tersebut.
            Meninjau dari perspektif sejarah, kita tidak dapat mengelak penggunaan bahasa rojak seawal penjajahan ekonomi ketika kedaulatan Melaka sebagai sebuah empayar entreport sewaktu ketika dahulu. Seawal tahun 1402 Melaka negeri pelabuhan ini menarik ramai pedagang yang secara keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa dari pelbagai bangsa dan budaya. Pedagang dunia dan penduduk yang mengunapakai pelbagai bahasa dalam satu perbualan amat biasa berlaku. Mengikut kata Ensiklopedia Malaysia (vol. Bahasa dan Budaya) ini merupakan sebahagian daripada bahasa penghubung yang dikenali sebagai Bahasa Rojak di Malaysia. Keunikan bahasa ini terdapat dalam gaya alihannya, seseorang mungkin memulai perbualan dalam bahasa Melayu dan kemudian menyambung dengan bahasa Inggeris, dan seterusnya mencampurkan satu atau dua perkataan bahasa Kantonis dan bahasa Tamil dan menamatkan ia dengan istilah bahasa Mandarin atau bahasa Jepun. Semasa pemerintahan Parameswara apabila dua kumpulan pedagang tanpa satu bahasa kongsian, mereka akan cuba untuk bertutur dalam apa jua bahasa untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam memahami antara satu sama lain, dan hasilnya mungkin suatu pijin atau rojak. Oleh hal yang demikian bahasa rojak aeakan-akan tidak dapat dielakkan lagi ketika itu demi tujuan komersial dan perdagangan antarabangsa. Malahan suatu ketika orang-orang ini datang menjelang 1511, Melaka mempunyai jumlah penduduk 50,000 termasuk komuniti pedagang yang bertutur 84 bahasa.
            Penjajahan Portugis, British, Jepun terus  menyuburkan pokok bahasa rojak di negara kita. Portugis telah mengekalkan bahasa dan budayanya di negeri Melaka sehingga ke hari ini. British datang dengan pengaruh bahasa Inggerisnya. Jepun pula terkenal memaksa sekolah Jepun dan tulisan kanji  kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Dengan alasan itu bahasa rojak memang tidak dapat dielakkan. Kelangsungan survival menjadikan bahasa rojak terus subur tanpa dibaja oleh sesiapapun. Malahan para penulis novel pun turut mempraktikkan amalan bahasa rojak dalam karya mereka sama ada secara sedar atau pun mahu menyerapkan budaya saling memahami dalam masyarakat majmuk Malaysia.
            Isu bahasa rojak berlanjutan apabila pihak media turut menyumbang kepada percambahan biaknya. Penggunaan Sure Heboh dalam media pernah menjadi polemik yang berpanjangan, sehinggalah pihak kabinet masuk campur dalam meredakan keadaan. Zaman mellenium turut menyaksikan banyak media terutama komik yang meremehkan penggunaan bahasa Melayu .
Sebagai memetik beberapa ayat yang amat biasa kita dengar, masyarakat kita memang sudah sebati dengan penggunaan bahasa rojak. Sebagai contoh Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Inggeris)
  • Kau memang terror (hebat) la!
  • Tempat makan ni best (bagus) sangat!
  • Kalau belum try (cuba) tita tidak tahu
Bahasa Rojak (Bahasa Melayu campur bahasa Cina)
  • Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
  • Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (bertolak ansur) punya maa!
  • Apasal (Kenapa) lu buat ini kerja cincai (tak sempurna)?

Sebenarnya secara halus juga sistem sosial sedikit sebanyak menyumbang kepada penggunaan bahasa rojak, malahan seperti menggalakkan supaya masing-masing dapat belajar bahasa ibunda orang lain dengan cara yang lebih santai. Masyarakat kita lebih mudah berkomunikasi dalam bahasa rojak demi mengeratkan hubungan dalam masyarakat. Kehidupan berjiran dalam sesebuah kawasan perumahan misalnya seolah-olah memaksa kita mempraktikkan amalan penggunaan bahasa rojak. Dalam sebauhkawasan perumahan terdiri daripada biasanya tiga kaum utama. Melayu apabila bertemu dengan orang Cina akan menegur ikut dialek kecinaan agar nampak lebih mesra. Begitu juga apabila betremu dengan orang India. Akhirnya bahasa yng tidak rasmi wujud sesama mereka kerana bukan mahu, tetapi demi menjaga keharmonian antara kaum yang tinggal setempat. Inilah ironisnya apabila mahu menjaga hati sesama kaum , bahasa sendiri tergadai olehnya.









            Satu lagi  penyebab bahasa rojak menjadi dominan dalam kalangan masyarakat adalah apabila berlakunya sesuatu urus niaga yang hanya mengutamakan keuntungan. Kepada para peniaga dan ahli perniagaan yang besar, apa yang lebih penting dalam urusan mereka adalah proses transaksi kewangan yang berlaku tanpa komunikasi sihat. Asalkan sahaja barang atau perkhidmatan mereka laku, walau bahasa apa pun yang digunapakai tidak menjadi halangan. Cuba kita pergi ke pasar basah. Cuba kita rakamkan perbualan orang di pasar. Bahasa apakah yang digunakan di sana. Adakah mereka menggunakan bahasa baku atau bahasa pasar. Siapakah peniaga yang paling berjaya , mereka yang menggunakan bahasa baku atau bahasa rojak? Jawapannya sudah pasti ada dalam minda kita semua. Bahasa rojak!
            Sifat bahasa Melayu itu sendiri memberi sumbangan kepada penggunaan bahasa rojak. Bahasa Melayu amat mudah menyerap apa-apa sahaja perkataan asing dalam kosa katanya. Bahasa Arab, bahasa Cina, Tamil, Inggeris, Siam, Jawa, malah Portugis dan  Sepanyol amat mudah kita jumpai dalam bahasa Melayu. Kesan positifnya ialah memperkaya kosa kata, tetapi kesan tidak baiknya ialah bahasa kita menjadi rojak. Sehinggakan bahasa kita, malahan bangsa kita hampir kehilangan identiti. Manakan tidak, bukankah ungkapan tersohor sering diuar-uarkan iaitu bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa...
            Dalam bidang penyiaran masalah bahasa rojak menjadi semakin serius.Tiga aspek permasalahan itu ialah bahasa siaran yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, penenggelaman bahasa Melayu dalam sistem pendidikan swasta dan ketidakseragaman bahasa penyiaran. Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling menyedihkan dalam penyiaran, malahan dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris.Keadaan ini, akan menggagalkan usaha mewujudkan bahasa baku dan menggagalkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. 
Apabila Timbalan Perdana Menteri menyelar mereka yang mengamalkan penggunaan bahasa rojak sebagai suatu petanda buruk kepada bahasa berkenaan. Suatu yang amat menyentuh. Pemimpin negara itu telah menghidu sesuatu yang tidak elok pasti akan berlaku jika isu bahasa rojak ini tidak ditangani sebaik mungkin.Mari kita lihat betapa seriusnya masalah yang berlaku apabila bahasa rojak dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita, sekadar contoh untuk menguatkan hujah yang kita akan hilang kekuatan bahasa yang kita sayangi.

Lirik Lagu Kantoi - Zee Avi

Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when I called Tommy he said it wasn't true

So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai... you, you tak ada
Lagi la I jadi gila

So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at the gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain

Sudahlah sayang, I don't believe you
I've always known that your words were never true
Why am I with you?
I pun tak tahu
No wonder la my friends pun tak suka you

So I guess that's the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tahu she was cheating too
With her ex boyfriend's best friend, Tommy...
Lirik Lagu Kantoi - Zee Avi (Kokokaina)

            Terbaharu, tanpa disedari usaha kerajaan yang mahu memajukan negara dalam pelbagai aspek pembangunan negara juga ‘menjemput’ bahasa rojak dengan sengaja. Pendatang tanpa izin (PATI) dan warga asing dari bangladesh, India, Nepal, Myanmar, Vietnam, Kampuchea, Indonesia, Filipina yang bergaul seperti rojak petis  menyegarkan lagi bahasa rojak yang sedia ada.
Langkah mengatasi
Rasa menjadikan bahasa Malaysia sebagai wasilah perhubungan dalam semua bidang khususnya pentadbiran, undang-undang dan perdagangan. Sebagai rakyat Malaysia kita patut sangat berasa bangga kerana bahasa ini telah digunapakai untuk hampir kesemua urusan rasmi dalam pentadbiran, undang-undang dan perdagangan. Dalam bidang pentadbiran pelbagai pihak menyuarakan rasa bangga apabila ada dalam kalangan wakil rakyat yang berbangsa Cina bertutur dengan fasih dalam bahasa Malaysia di parlimen. Begitu juga halnya terdapat beberapa orang pensyarah yang pakar dalam bahasa Malaysia walaupun mereka berbangsa asing. Manakala dalam bidang undang-undang hampir semuah mahkamah telah melaksanakan sepenuhnya penggunaan bahas Melayu ketika perbicaraan dijalankan. Hanya dalam bidang perdagangan mungkin penggunaan bahasa Malaysia agak berkurangan kerana pengaruh bahasa perdagangan itu sendiri menenggelamkan bukan sahaja bahasa Malaysia malah hampir semua bahasa lain di dunia. Bahasa yang dimaksudkan mempunyai nilai komersial yang tinggi adalah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Salah satu pilihan terbaik mengatasi masalah  bahasa rojak ialah dengan Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' dalam kalangan masyarakat kita. Namun begitu harus difahami ,kuasa itu bukan untuk menghukum, sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan. Dengan itu, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.Kenyataan Dr. Mohd Puad Zarkarshi semasa mengulas isu ini mendapat sokongan banyak pihak. Rata-rata mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan menyokong kenyataan tersebut. Maka adalah jelas bahawa  rakyat bersama-sama mencintai bahasa Melayu bukan kerana undang-undangnya, tetapi kerana bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi antara mereka, yang menyatukan mereka dan juga menjadi alat perolehan ilmu bagi mereka. Oleh itu, usaha penguatkuasaan hanya salah satu cara untuk memantapkan lagi penggunaan yang betul dalam bahasa Melayu tetapi usaha-usaha lain haruslah diteruskan bagi mewujudkan dan membina rakyat Malaysia yang betul-betul memahami aspirasi bahasa jiwa bangsa,” katanya.

Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak ini. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, termasuk Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet, malahan golongan istana seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa Melayu yang betul. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.
Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak  terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan asing seperti Inggeris, Cina, India, Arab dan sebagainya bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.
Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program televisyen, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program televisyen yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar sekurang-kurangnya digam atau diubahsuai judulnya. Sebagai contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” , “Showdown”dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak  yang berleluasa telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global. Bahasa Melayu yang lebih lunak disebut bahasa Malaysia kini telah menjadai global sifatnya malang sekali di peringkat akar umbi bahasa itu menjadi semakin membusuk kesan penyakit bahasa rojak yang menyerang tanpa diberikan penawar mujarab dengan segera. Janganlah sampai Timbalan Perdana Menteri bertukar menjadi Perdana Menteri, Perdana Menteri bertambah bilangan angka pengganti, namun isu bahasa rojak masih di takuk lama tanpa diusahakan dengan bersungguh-sungguh mengatasi.






















LAMPIRAN:
Description: http://sphotos-d.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/6247_500748836602163_2113634489_n.jpg