Agi Idup Agi Ngelaban


Agi Idup Agi Ngelaban
Oleh Salleh Hashim
Disiarkan pada OGOS2008
BERITA HARIAN



"BAWALAH semua meriam kamu dari Eropah, kami tidak takut kepada kamu orang Eropah." Rentap bersuara dengan lantang ke arah para pengikut Charles Brooke yang kelihatan putih tapak kaki masing-masing akibat ketakutan kerana kekalahan yang entah kali ke berapa menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok. Kali ini mereka kalah lagi. Charles Brooke dengan strateginya menyerang setahun sekali masih tidak menjumpai resepi kemenangan dalam peperangan menentang pahlawan Iban yang sungguh cekap dan gagah berani itu. Tahun lepas 1857, pun mereka cuba menyerang.

“Kamu mesti membawa seramai askar yang mungkin untuk menewaskan rentap itu.” Kata James Brokke kepada saudaranya Tuan Muda Charles Brooke. Dia memang bencikan pemimpin Iban yang berkarisma itu. Dia sanggup berbuat apa sahaja, asalkan dapat menghapuskan Rentap menyebabkan usahanya untuk menakluki bumi Sarawak yang sarat dengan kepelbagaian hasil itu sering tersekat.

“Kamu bakar semangat orang-orang Iban dan orang-orang Melayu untuk bangkit menentang pemimpin tanah air mereka sendiri. Gunakan segala kemudahan yang aku sediakan di bumi ini untuk menghapuskan Rentap dan para pengikutnya sehingga mereka nyah dari bumi Sarawak ini. Aku raja di bumi Sarawak sekarang. Sesiapa yang berani melawan akan kucincang lumat tubuh mereka.” Raja Putih mengukuhkan kota keangkuhannya di bumi bukan miliknya.





“Kami dapat kumpulkan seramai 3,000 orang Iban, Sir.” Kata Jugam mewakili kaum Iban yang telah termakan pujuk rayu Jemat agar bangkit menentang pahlawan mereka sendiri.

“Kaum Melayu pula ada kira-kira 500 orang yang sudah bersedia menyerang ke Bukit Sadok, Sir.” Morsidi pemuda Melayu yang menyokong James Brooke memberi kelegaan kepada Raja Putih Sarawak itu.

“Wahai anak bangsaku yang masih setia dan sayang akan tanah air ini, aku tetap akan berdiri teguh di Bukit Sadok ini dengan bertemankan meriam Bujang Timbang dan berkubukan kayu belian yang dapat menahan tembakan senapang. Ada sesiapa antara kamu yang mahu mengundurkan diri?” Pahlawan Rentap mengajukan soalan kepada para pengikutnya.
Sunyi sepi.

“Agi idup agi ngelaban!!!” terdengar suatu suara di tengah-tengah kesunyian para pengikut Pahlawan Rentap di puncak Bukit Sadok dengan ketinggian 2725 kaki dari aras laut itu.

“Agi idup agi ngelaban!!!” bergema tempikan suara para pengikut mengejutkan seluruh penghuni alam Bukit Sadok. Semangat juang para perajurit dan pengikut Pahlawan Rentap mengatasi ketinggian Bukit Sadok, melenyapkan bunyi laungan harimau dan binatang buas lain yang menghuni alam Bukit Sadok tempat kubu utama Pahlawan Rentap. Monyet-monyet yang mengintai-intai perbualan mereka bertempiaran dari celah pohon engkabang dan pohan dabai yang tumbuh melata di sekitar Bukit Sadok. Pohon dabai yang mengeluarkan buah bergugus-gugus berwarna kehitam-hitaman itu sungguh enak dimakan bersama nasi dari padi bukit yang panas dimasak. Mereka tidak bimbang akan sumber makanan. Mereka tidak gentar dengan kehidupan di hutan. Hutan adalah sahabat sejati mereka. Tenaga dan semangat mereka turut dipetik daripada sumber hutan. Mereka pahlawan yang sebenar.

“3,500 orang menyerang Rentap di Bukit Sadok masih gagal!” Raja Putih bertukar merah kulit di wajah mukanya menahan kemarahan akibat kegagalan tenteranya menewaskan Rentap. Dia mengetap-ngetap gigi dan bibirnya yang mengelupas akibat kepanasan cuaca tropika bumi Sarawak. Wajahnya yang diselimuti janggut dan bulu-bulu perang meliar itu bertambah bengis dan kelihatan sungguh kecewa. Dia kaget dengan kehandalan Pahlawan Rentap menangkis peluru dari meriam kesayangannya Bujang Sadok. Walhal Bujang Sadok lebih besar dan panjang ukurannya daripada Bujang Timbang kepunyaan Pahlawan Rentap. Dia tunduk malu mengenangkan kekalahan demi kekalahan dan terbayang di wajahnya akan ketakutan dan bagaimana putih tapak kaki para tenteranya dihambat oleh suara Pahlawan rentap yang terngiang-ngiang di telinganya saban waktu.
“Bawalah semua meriam kamu dari Eropah, kami tidak takut kepada kamu orang Eropah.” Suara pahlawan rentap itu benar-benar mengganggu kehebatannya sebagai manusia penakluk dari bumi Eropah.

Semuanya bermula gara-gara keluarganya yang bergelar Brooke itu telah menghina orang Iban di sekitar pendudukan Sungai Skrang sebagai lanun.

“Hei, Iban lanun, kamu tidak layak tinggal di bumi Sarawak ini. Kami orang putih yang gagah telah membelinya dari Kesultanan Sulu dan Brunei.” Kata John Brooke, salah seorang anggota keluarga Brooke kepada salah seorang Iban yang sedang mendayung perahu panjangnya di Sungai Skrang.

“Mereka telah menghina dan menuduh kita dari kaum lanun, sebenarnya merekalah lanun, merompak kekayaan bumi Sarawak ini. Mulai saat ini aku bersumpah akan menghalau mereka dari bumi yang bertuah ini.” Pahlwan Rentap menjawab apabila pengikut setianya menyampaikan kepadanya tentang kebiadapan tutur kata keluarga Brooke itu.

“Tambahan pula aku mendapat tahu yang keluarga “Beruk” itu begitu berani mendirikan kubu mereka sendiri kononnya untuk mengawasi pergerakan kita. Mereka juga merancang mahu menghapuskan petempatan kaum Iban di Sungai Skrang kepunyaan kita ini. Inilah masanya kita bangkit menuntut hak kita. Sia-sia sahaja aku diangkat menjadi pemimpin kamu semua jika aku gagal menghalau mereka dari bumi ini. Aku akan pastikan gelaran yang kamu berikan kepada aku “penggoncang dunia” akan menggoncang kedudukan Beruk itu.” Kata-kata Pahlawan Rentap disambut dengan sorakan penuh bersemangat daripada para pengikutnya.

“Agi idup... agi ngelaban!!!

“Agi idup...” jerit Rentap

“Agi ngelaban...!!! sambut para pengikut dan pejuang yang lain.

“Apa, pegawai Allan Lee sudah mati?” James Brooke sungguh menyinga apabila mendapat berita itu. Kebangkitan Rentap dan para pengikutnya telah sampai ke kemuncak. Allan Lee ialah salah seorang pegawai kesayangan James Brooke , terbunuh semasa Rentap bertekad menyerang kubu James Brooke di Nanga Skrang.

“ Kejayaan ini telah mengharumkan nama ketua kita.” Kata Jemat kepada tuai Rumah Skrang. Namanya menjadi sebutan dalam kalangan penduduk Iban di sepanjang Sungai Skrang. Kita semua patut berbangga kerana mempunyai seorang pemimpin yang berani dan handal dalam medan pertempuran. Kita mempunyai maruah yang tinggi untuk dipertahankan. Kita tidak boleh dipermain-mainkan oleh Inggeris yang rakus akan harta dan hasil bumi di bumi Sarawak ini.” Jemat semakin bersemangat bersuara semenjak kejayaan mereka menyekat kemaraan British dan konco-konconya itu. Pengikut mereka bertambah ramai. Kegagahan Rentap di medan perjuangan menjadi buah mulut orang ramai.

“Kita mesti berwaspada. Rajah Putih itu tak akan berdiam diri.” Firasat Pahlawan Rentap tentang perkara yang mungkin terjadi. Semua pengikutnya diminta bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Ya. Baiklah Raja Ulu! Sahut penduduk sekitar Sungai Skrang dan juga Sungai Lang. Bagi mereka pemimpin yang kini mereka gelarkan raja Ulu itu tempat mereka bergantung harapan. Perjuangan mempertahankan tanah air memerlukan seorang pemimpin yang bijak, berwawasan dan pandai mengambil hati rakyat. Mereka akan memberi sokongan sepenuh jiwa kepada pahlawan mereka.

“Tolong!”

“Tolong, rumah terbakar!”

“Tolong, orang putih bakar kampung kita, jerit Jemat kepada semua penduduk kampung tempat Pahlawan rentap dan pengikutnya berkumpul.

“Benarlah firasatku.” Pahlawan rentap berbisik sendirian.

“Orang putih jahanam itu tak akan berdiam begitu sahaja. Mereka kini berusaha membuatkan keadaan kampung dan tanah air kita tidak tenteram. Mereka sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja rakus, tamak dan gilakan harta kekayaan, malah sanggup membakar perkampungan kita demi menyempurnakan niat jahat mereka.” Pahlawan Rentap berpesan kepada semua anak buahnya.

“Jangan biarkan sesekali mereka menjajah kita. Sekali mereka menjajah kesannya sampai kepada anak cucu kita. Jika tidak dapat tanduk, telinga pula yang mereka pulas.” Pahlawan rentap semakin bersemangat menyampaikan amanatnya.

“Ingatlah, jika kita bersatu dan saling membantu mereka tidak akan berjaya menewaskan kita. Mungkin ada antara kita yang terkorban, namun semangat perjuangan kita tidak pernah padam. Kita nyalakan obor perjuangan agar nama kita menjadi harum dikenang sebagai pejuang bangsa kerana mempertahankan tanah air, namun menyerah kalah tidak sekali-kali.” Pahlawan rentap berucap di hadapan pengikut-pengikutnya sambil memandang jauh ke hadapan. Di tangan kanannya memegang obor yang menjadi alat mencucuh meriam kesayangannya Bujang Timbang. Di tangan kirinya parang ilang lambang kegagahan kaum Iban sentiasa memancarkan warna kilat yang pernah mengorbankan nyawa beberapa pengikut Raja Putih itu.

Tubuh sasa, lengan pejal dan padat dilengkapi dengan pakaian seorang pahlawan, Pahlawan masih bertahan di Bukit Sadok.

“Agi idup agi ngelaban!” Bersahut-sahutan kalimat keramat itu memenuhi ruang bumi Bukit Sadok dan Sungai Skrang. Melimpah ruah gema suara itu melanda arus Sungai Krian, Sungai Saribas sehinggalah ke Kuala Batang Lupar. Menyambut kegemilangan semangat kepahlawanan dan keberanian Pahlawan Rentap.

Sepuluh tahun berlalu

“Pahlawan Rentap! Raja Putih menyerang lagi.”

Jemat dan beberapa orang rakannya memberitahu Pahlawan Rentap.

“Jangan takut kita lawan,” beliau membakar semangat anak-anak buahnya.

“Kali ini James Brooke sendiri yang menjadi ketua.” Kata Jemat lagi.

“Walau siapapun yang datang, aku tidak gentar.”

“Bukankah sudah kukata aku tidak takut kepada mereka orang putih,” Rentap segera bersiap dengan peralatan miringnya seperti biasa sebelum memulakan sesuatu pertempuran. Semoga pertempuran kali ini lebih berjaya lagi.

“Sudah hampir sebulan kita berperang Pahlawan Rentap....,” kata Jemat termengah-mengah.

“Kubu kita sudah habis musnah terbakar,” Jemat menambah.

“Rumah para pengikut kita juga sudah menjadi abu, padang jarak padang tekukur,” Jemat melaporkan setiap perkembangan kepada ketua yang dihormatinya.

“Baiklah, kali ini kita mengambil langkah pahlawan berundur, tetapi ingat berundur bukan bermakna kita menyerah kalah.” Pahlawan Rentap memberi penegasan.

“Kita berundur demi menyelamatkan nyawa para pengikut kita yang tidak berdosa daripada menjadi mangsa kekejaman Raja Putih itu.

“Mari kita berundur ke Entabai, di sana kita akan menyusun semula perjuangan kita.” Frasa keramat daripada pahlawan pemimpin sejati menyejukkan jiwa pengikutnya. Jemat mengangguk perlahan.

“Kita akan menggerakkan seluruh kekuatan dan semangat penduduk bumi Sarawak ini. Jangan izinkan mereka membuka mulut mengatakan bangsa kita lanun dan sebagainya. Kita pejuang bangsa yang tulen. Kita tak akan semudah itu membiarkan maruah bangsa kita diinjak-injak. Kita akan teruskan perjuangan walaupun aku sendiri sudah mati. Semangat pahlawan Rentap ini tidak akan mati.” Madah Pahlawan Rentap mengiringi pengunduran mereka.

“Jemat! Terdengar suatu suara.

“Jemat! Kali ini lebih kuat.

“Ya, ada apa?” Jemat menoleh.

“Benarkah Pahlawan Rentap sudah pergi meninggalkan kita?”

Lama Jemat tidak menjawab. Dia merenung jauh. Merenung masa depan bumi Sarawak tanah airnya yang tercinta bakal direnggut kesucian dan kedamaian oleh tangan rakus tamak haloba penjajah keparat.

“Biarpun Rentap telah pergi, namun semangatnya masih di sini. Rentap pahlawan kaum Iban yang mempertahankan maruah bangsa, menentang kuasa penjajah British di Sarawak. Memang benarlah beliau digelar orang sebagai “penggoncang dunia” kerana kehandalan dan jasa baktinya mengekang kemaraan penjajah.”

“Agi idup agi ngelaban!!!”

Biodata

SALLEH Hashim yang menggunakan nama pena Cikgu Salleh dilahirkan pada 12 September 1963 terbabit dalam penulis cerpen dan novel. Cerpen pertamanya, Pemenang Sebenar, disiarkan dalam Majalah Dewan Siswa. Beberapa cerpennya mendapat tempat dalam Majalah I. Cerpennya, Asam Pedas, Naga Sungai Muar, meraih hadiah sagu hati Sayembara Penulisan Cerpen anjuran DBP Wilayah Selatan. Beliau berminat dalam bidang penulisan cerpen sains fiksyen dan sedang menyiapkan novel, Hikayat Kekasih Alam. Lepasan Universiti Malaya ini sekarang berkhidmat sebagai pendidik di SMK Tun Mamat, Tangkak, Ledang, Johor.