Istana Menanti (A. Latip Talib)

Istana Menanti (A. Latip Talib)

Sebuah novel baharu yang diterbitkan untuk memenuhi sukatan KOMSAS bagi pelajar tingkatan 1 mulai tahun 2010.Novel ini menggantikan anak Din Biola, bagi zon Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Kepada pelajar tingkatan satu dan guru-guru yang mengajar Bahasa Malaysia Tingkatan 1 zon yang berkenaan sila amati ulasan yang saya nukilkan. selamat membaca dan memberi komen yang saya hargai.

SINOPSIS KESELURUHAN

Mengisahkan tiga orang sahabat yang amat berminat dalam mengkaji sejarah bersepakat untuk menjejak sebuah istana lama di puncak Gunung Datuk. Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy mengunjungi Tuk Ngah yang menjadi pakar rujuk peristiwa bersejarah tentang kaitan Istana Menanti dengan sejarah penting beberapa kerajaan Melayu Melaka dan juga sejarah pejuang tanah air menentang penjajah. Menurut Tuk Ngah, Kewujudan Istana menanti berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau ke Tanah Melayu, Raja Melewar menjadi pemerintah yang pertama bersemayam di istana tersebut. Tuk Ngah juga bercerita tentang asal usul nama rembau dan Sungai Ujung menjadikan remaja bertiga itu semakin teruja hendak menyiasat istana lama tersebut. Pda hari yang sesuai bertemankan Tuk Ngah, tiga bersahabat itu menunjukkan kegigihan mereka mengatasi halangan menawan puncak Gunung Datuk dan melihat sendiri keistimewaan Istana Menanti. Semasa dalam perjalanan menuju ke puncak itulah Tuk Ngah bercerita tentang sejarah pembukaan negeri Melaka oleh Paremeswara. Mereka juga sempat singgah sebentar di jeram Lubuk Petai yang dikatakan tempat bersiram Raja Melewar dan Sultan Mahmud. Tuk Ngah sempat memberi nasihat kepada anak remaja itu supaya menjaga tingkah laku semasa menuju ke puncak gunung demi menjaga keselamatan bersama-sama. Apabila sampai ke puncak gunung dan melihat rekabentuk istana yang dikatakan berpuaka itu, Tuk Ngah bercerita pula tentang bentuk bumbungnya yang kelihatan seperti tanduk kerbau itu. Menurut Tuk Ngah, bentuk itu sempena memperingati kemenangan seorang raja Minangkabau yang menang dalam perlawanan kerbau. Tuk Ngah tidak masuk bersama-sama ke dalam istana kerana ingin berehat di luar istana. Mereka bertig amasuk dan melihat keunikan senibina istana lama tersebut. Tiba-tiba merek aterkunci dari dalam. Mereka mencar-cari jalan keluar namun tidak berjumpa. Fadhil cuba mengetuk-ngetuk lantai, lalu terjumpa pintu terowong bawah tanah yang gelap dan berbau hapak.Merek acuba masuk tetapi gagal kerana terlalu gelap dan tidak tahu berapa jauhnya terowong itu. Merek akemudian terserempak dengan seorang pemuda dari UPM yang sudah keletihan juga terperangkap dalam terowong tersebut. Ah Seng terasaingin membuang air besar. Dia masuk ke dalam terowong lalu ditangkap oleh sekumpulan penjenayah. Penjenayah tersebut sedang menggali tanah di dalam terowong itu kerana mencari harta yang mereka simpan semasa mereka berjuang dahulu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan. Akhirnya Fadhil, Ramasamy dan hairil jug amenjadi mangsa dikerah menggali tanah untuk mendapatkan harta tersebut. Setelah harta tersebut ditemui, mereka segera meninggalkan terowong. Dalam pada itu ibu bapa remaja tersebut telah berpakat mencari mrereka dan membuat laporan kepada pihak polis. Mereka beramai-ramai mendaki Gunung Datuk, namun gagal menemui remaja tersebut. Tuk Ngah yang bersembunyi dari penglihatan penjenayah itu muncul lalu memberitahu perkara sebenar. Pihak polis berjaya memerangkap penjenayah tersebut. Remaja bertiga itu juga selamat ditemui. Mereka digelar sebagai wira kampung dalam suatu majlis meraikan keberanian dan kegigihan mereka menempuh cabaran sehingga membantu pihak polis menangkap penjenayah negara tersebut.
Asam Pedas, Naga Sungai Muar

Asam Pedas, Naga Sungai Muar

asam pedas, masakan tradisional orang Melayu daerah Muar dan sekitarnya. Sesiapa yang tidak menjamah asam pedas Muar, belum lengkap persinggahannya ke Muar. Inilah asam pedas 'yang paling mahal' pernah dihasilkan.saya memenangi hadiah saguhati RM 500 dengan cerpen ini daripada Sayembara Menulis Cerpen DBP Wilayah Selatan. Nikmatilah keenakan cerpen asam pedas saya ini...

ASAM PEDAS, NAGA SUNGAI MUAR.

“Aku masih ingat peristiwa itu,” kata-kata hampir separuh sebaknya sebaik sahaja Ayub meletakkan surat khabar itu di atas meja.Dia kelihatan seperti cuba mahu menelan sesuatu yang amat pahit di kerongkongnya. Sekali lagi lakaran bigfoot yang ditatap di muka depan surat khabar itu ditenungnya dengan mendalam .
Bigfoot di Kota Tinggi ini mengingatkan Ayub satu peristiwa silam yang dia tempuhi bersama-sama seorang sahabat ketika dia berniaga asam pedas di bandar bersejarah bandar Muar suatu ketika dahulu. Ayub tak sedar perbuatannya telah menimbulkan pelbagai masalah yang akhirnya menyebabkan dia ditahan untuk siasatan pihak polis.Mujur dia hanya dikenakan denda sebanyak lima ribu ringgit.Walau bagaimana pun Ayub sangat menyesal, semenjak peristiwa itu Ayub telah meninggalkan bandar Muar yang penuh kenangan umpama sungainya yang mengalir dengan seribu satu macam isi kandungannya.
Untuk kesekian kalinya Ayub menatap lakaran bigfoot itu. Fikirannya berenang-renang menelusuri tebingan sungai Muar. Sungai yang berpunca dari Tasik Bera negeri Pahang merupakan ‘lebuh raya’ merentasi sempadan negeri Johor malah menjadi laluan Hang Tuah ketika menjemput Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka suatu ketika dahulu.
Mungkinkah cerita bigfoot ini ada persamaan dengan peristiwa yang dialaminya sendiri ketika dia bergelar usahawan asam pedas di bandar Maharani, bandar kelahirannya. Bandar tempat dia berbasikal ke sekolah. Sekolah rendahnya berhampiran Tanjung Mas.Sekolah menengahnya pula megah tersergam berhampiran dengan bangunan mahkamah sekarang yang bersetentangan dengan bangunan Pejabat Tanah binaan penjajah Inggeris.

Sungai Muar yang mengalir dengan pelbagai rahsia sejak zaman Malim Deman mengintai puteri mandi di tasik biru itu sudah menjadi sebati dengan nafas dan kehidupan Ayub.Sungai yang hampir selari dengan Jalan Salleh. Sepanjang Jalan Salleh, Kubu Bentayan, Stesen Bas Pagoh, Jambatan Sultan Ismail, Gerai Makanan yang baru dinaik taraf menuju ke bangunan Majlis Perbandaran Muar, menyeberang ke Bangunan Pejabat Tanah, Masjid Jamek hinggalah ke Tanjung Mas yang berangin lembut menyapa ketenangan jiwa sudah menjadi peta yang bertapak dalam mindanya tanpa dilukis. Malah projek Pasar Rabu mirip Pasar Rabu Alor Star ilham mantan Perdana Menteri Malaysia itu juga sudah kukuh berpasak dalam neuron sereberum otak kanan dan kiri Ayub. Ayub anak jati ‘Muo’. Sebutan ‘Muo’ yang meluncur dari lidah anak jati Muar itu menonjolkan jati diri anak Muar.
“Asam Pedas ikan merah satu!” jerit pekerja Warung Asam Pedas yang memberitahu tukang masak Warung Asam Pedas Bersiut apabila dipesan pelanggan. Ayub memerhati dengan ekor matanya kecekapan tukang masak dan semua pekerja Warung Asam Pedas Bersiut itu.Baginya layanan yang mesra dan perkhidmatan yang pantas menjadi azimat utama menarik pelanggan berkunjung ke warung asam pedas yang mula-mula dibukanya itu. Di kemuncak kecemerlangan perniagaannya Ayub sudah membuka lima buah cawangan warung asam pedas di sepanjang tebingan sungai dari Jalan Salleh ke Jalan Maharani dan bersambung ke Jalan Petri di Tanjung Mas.
“ Meniaga teruklah...” Ayub membuka bicara apabila Basar budak bomba yang kerja shif malam datang untuk makan malam melabuhkan punggung di warungnya tanpa ditanya. Basar tidak memberi sebarang respon. Dia juga turut merasakan kemerosotan perniagaan Ayub Asam Pedas kebelakangan ini. Dia pelanggan tetap Warung Asam Pedas Bersiut kepunyaan Ayub.Kegawatan ekonomi yang melanda negara, kenaikan harga minyak dan kenaikan kos operasi menyebabkan dua warung asam pedas Ayub di Tanjung Mas ditutup.
“ Menteri Besar baru saja merasmikan Restoran Dua Puluh Empat Jam Asam Pedas di Parit Jawa petang tadi. Ramai ‘rakyat’ Muar yang berkunjung ke sana sebab upacara perasmian menawarkan potongan separuh harga untuk asam pedas Parit Jawa.” Basar menghimpunkan derita di dada Ayub yang sudah sedia menanah akibat kemerosotan perniagaannya. Basar mengesip-ngesip kepala ikan merah masak asam pedas di warung Ayub itu. Bagi Basar walau apa pun tawaran dari gerai atau restoran lain, masakan asam pedas dengan resepi istimewa rahsia Ayub memang sudah bertakhta di hatinya. Biar tsunami melanda dia tetap setia dengan Warung Asam Pedas Bersiut milik Ayub. Itu Ayub tak nafikan. Malah jika sebut saja Asam Pedas Bersiut sudah mencucur air liur keluar masuk di kerongkong para penggemarnya. Namun sejak kebelakangan ini warung itu semakin sepi, sesepi Tanjung Ketapang yang hanya dihuni monyet hutan bakau menghala ke barat Tanjung Mas di pinggir bandar Maharani itu. Malah kadang-kadang dia terasa mangu di tengah-tengah hiruk pikuk kenderaan hilir mudik di bandar separuh elit itu.
“ Video gusti, aku dah bukak, lagu pop yeh-yeh berdengung-dengung, kumpulan ghazal pun aku dah sewa ke warung aku ni. Pelanggan masih macam gitu.” Ayub mengeluh lagi. Deruman motosikal kira-kira sepuluh orang anak muda singgah meninggalkan asap sahaja, mereka tak jadi minum di warung Ayub. Basar mengibas-ngibas hidungnya sambil menghembus nafas yang dikunjungi asap motor. “Celaka punya budak, dah le tak singgah, dia bagi asap pulak kat hidung kita.” Sumpahan Basar tidak sampai ke ke telinga yang berkenaan. Yang dapat seranah itu ialah telinga Ayub juga.
“Eh, engkau tolong aku boleh tak?” Ayub tiba-tiba separuh berbisik semakin merapat ke bangku Basar. Solah-olah ada sesuatu yang benar-benar rahsia dan penting.
“Ular!”
“Ular besar!”
“Engkau dah sasau ke, ular nak buat masak asam pedas? Eh, engkau ni dah tak siuman ke? Walau pun aku ni ahli bomba yang kekadang tangkap ular, aku tak tergamak nak makan asam pedas daging ular tau. He... tak mau aku, itu aku tak sanggup tolong... nah kira ni berapa harga makanan ni, aku nak balik, engkau ni Ayub baru tutup dua buah kedai dah mula sasau.” Basar mula melangkah mahu angkat kaki dari warung Ayub.
“ Hei, bukan macam tulah kawan,dengar dulu.”Ayub menahan pergerakan Basar dengan nada suara merayu.
“Dulu kan ada ular besar yang ditangkap dekat Pasar Raya Astana kat tebing sungai ‘Muo’ ni, Ular tu dapat ditangkap ke tak?” Ayub membeliakkan matanya memandang Basar.
“Mana dapat, terlepas, tu yang heboh sekejap tu.” Basar mengulas ringkas.
“Begini...” Ayub mengambil buku catatan mengira harga makanan pelanggannya yang lusuh dilenjan dek jari jemari pekerjanya ketika mengambil pesanan atau pun mengira harga makanan. Ayub mencoret-coret sesuatu di atas kertas itu. Basar memerhati dengan teliti. Basar angguk.. Geleng. Angguk lagi dua tiga kali angguk.
“ Malam ni aku belanja engkau makan.” Ayub menepuk bahu Basar beberapa kali sambil Ayub masih sempat berpesan separuh berkias kepada Basar.
“Engkau kalau nak memukul anjing tu tengok-tengok dulu tuannya...” Basar tetap mengangguk kerana temboloknya sudah hamil dengan ikan pari asam pedas walaupun dia sendiri kurang pasti maksud kiasan Ayub yang bijak berniaga dan bijak berfalsafah itu.Apatah lagi semenjak kemarau melanda perniagaan Ayub kebelakangan ini.




“Besar tong deram tu!” kata Chan Ah Peng kepada Daud.
“ Eh, biasalah tu, aku pernah tengok ular sebesar tong deram.” Engalavarasu menjawab yang sudah bekerja di Majlis Daerah Muar Selatan lima belas tahun lamanya.
“ Ei... yang besar tong deram itu baru dia punya ekorlah.” Suara Basar menyampuk tiga sahabat yang sering ‘ngeteh’ di Warung Asam Pedas Bersiut.
“ Aku, kalau orang lain cakap tak berapa percaya, tapi kalau Basar budak bomba ni aku memang tak nafikan.” Chan Ah Peng membenarkan cerita.
“ Dulu, masa aku dan budak-budak bomba lain terlepas tangkap ular tu kami lihat ekornya dah besar ni ha,” Basar menunjukkan mulut kole di atas meja sekarang dah lima tahun berlalu, memang patut dia membesar lebih lagi.” Basar membulatkan biji matanya menghala ke Sungai Muar yang kelam ditelan planet malam itu.
“Naga kut?” Mahmud askar pencen memberitahu Samad sepupunya. Ketika sepupunya itu mengunjungi Mahmud dan keluarganya di Bukit Kepong. Berita ular besar atau naga itu cepat benar tersebar dari mulut ke mulut sampai ke ulu Muar sempadan Segamat.
“Mungkin juga, tapi macam mana dia boleh hidup di bawah terowong Pasar Raya Astana itu.?” Samad menendang bola pertanyaan kepada Mahmud kawan Basar. Mahmud berkawan dengan Basar sudah lama. Kebetulan mereka berjumpa di pasar awam tingkat bawah Pasar Raya Astana itu Basar membuka cerita.
“ Naga itu makan lebihan ,sisa-sisa ayam, daging, sayur-sayuran dan segala macam sampah yang dibuang oleh peniaga pasar basah di bawah supermarket tu. Badannya kini semakin membesar tak boleh bergerak dengan aktif lagi.” Mahmud menyambut bola pertanyaan Samad dengan kemas sehingga Samad terlopong mulutnya seperti ternganganya pintu gol di padang bola sepak.
“Hari itu seorang pekerja pasar raya tu terkejut apabila botol-botol kicap yang disusun rapi dalam rak-rak tiba-tiba bergoyang dan berlaga sesama sendiri. Mungkin naga itu bergerak lebih sedikit menyebabkan bangunan supermarket tu bergegar. Eiii seramnya aku...” Mahmud merasa-rasa bulu tengkuknya yang meremang.
“Palis...” Samad mengharapkan sesuatu yang buruk tidak akan berlaku. Pekerja supermarket itu selalu menghantar kicap ke kedai-kedai makanan dan warung di sepanjang Jalan Salleh ke Tanjung Mas termasuklah ke warung Asam Pedas Bersiut kepunyaan Ayub.Samad juga pernah mendengar cerita itu dari beberapa orang pekerja supermarket tersebut.
Rakyat Muar gempar. Minggu depan pasukan Bomba dan Penyelamat akan melancarkan operasi menangkap ular sebesar tong deram itu. Atau mungkin sudah menjadi naga. Pawang Ular dari Taiwan telah dijemput untuk menarik perhatian ular itu.Mereka berusaha untuk ‘memanggil’ular itu keluar. Beberapa biji buah limau beserta peralatan memuja kelihatan terletak elok di hujung jeti berdekatan pasar raya itu.
“ Orang putih yang pandai tangkap buaya dalam TV tu pun nak datang. Dia berminat nak tangkap naga tu.” Basar memberitahu jemaah surau Al Imam di kampungnya semasa dia balik bercuti di kampung setelah usai solat Isya’. Kebetulan siri “Crocdile Hunter” sedang sibuk ditayangkan di beberapa buah stesen televisyen. Siri itu mempamerkan kehebatan seorang bekas penjaga zoo beralih arah menjadikan binatang ganas seperti buaya sebagai sahabat baiknya atau sebagai teman tidurnya. Siri itu mendapat perhatian hangat daripada para penonton
“ TV 10 datang nak buat liputan.” Basar menggayakan aksi seorang jurukamera mengambil gambar kedamaian sungai Muar ketika dia makan malam di warung Ayub. Semua mata dan telinga pengunjung warung itu tertumpu kepada cerita Basar.Sah. memang ada naga di bawah sana tu.
“ Terima kasih Basar, wartawan belum datang lagi, warung aku dah penuh. Perniagaan aku dah pulih semula. Harap-harap naga itu betul-betul muncul malam tu nanti. Dapatlah aku buka semula warung di Tanjung Mas yang aku tutup tu.” Ayub berbisik sendirian memandang Basar yang sedang rancak bercerita naga di negeri Cina, ular lidi, ular sawa dan pelbagai jenis ular lagi.
Mana-mana warung dan kedai kopi, surau ,masjid, pejabat dan sekolah orang ramai bercerita tentang naga di sungai Muar.Heboh. Cuaca yang mendung beberapa hari kebelakangan ini menambahkan lagi daya penarik cerita tersebut. Jika benar naga keluar pasti hujan ribut turun tak henti-henti selama beberapa hari.Mungkin naga itu akan menyebabkan ribut turun, kilat sabung menyabung dan lautan bergelora, macam dalam cerita Putera Besar Lahir Ke dunia.
Angin ribut bertiup kencang,maka Tuan Puteri pun lalu pengsan tiada khabarkan dirinya,lalu berputera seorang lelaki membawa sebilah parang puting di tangannya.
Tiga bilah lantai patah
Tiga gelegar yang patah,
Sampai masuk ke dalam bumi tujuh hasta. Maka huru hara lah bunyinya di dalam istana baginda, laksana katak diharung ular oleh jerit pekik raung sawan inang pengasuh dan dayang-dayang Tuan Puteri tiada terhinggalah lagi.
Itu baru kelahiran seorang putera. Inikan pula keluarnya seekor naga yang ekornya sahaja sudah sebesar tong deram kepunyaan Pak Khamis nelayan yang selalu mengisi tong deramnya dengan minyak disel mencari rezeki di Selat Melaka menerusi kuala Sungai Muar ini.Tentu lebih dahsyat lagi.
Warung Ayub yang paling hampir dengan bangunan pasar raya tersebut kini menjadi tumpuan beratus-ratus orang entah dari mana datangnya. Ayub sendiri tak tahu dari mana mereka datang.Ayub tak peduli itu semua, yang penting kantungnya penuh.Basar pula semakin galak ke kedainya kerana sudah hampir dua minggu dia makan free di situ. Ayub berpesan kepada semua pekerjanya jika Basar makan apa sahaja jangan minta bayaran.Biarkan dia melahap apa yang dimahunya.
Heboh benar kisah ular naga yang telah menghuni terowong bawah bangunan itu. Mungkin ada kebenarannya. Mungkin dahulu ular itu biasa sahaja saiznya. Hal ini kerana sewaktu bangunan itu dibina ada beberapa ekor ular yang terperangkap oleh jaring atau pukat nelayan yang dibuang tanpa pengawasan pihak berenaan. Mungkin ular itu semakin membesar dan kini ruang di bawah bangunan itu sudah sempit untuknya. Itulah sebabnya pada suatu hari botol-botol kicap di atas supermarket itu berlaga-laga akibat pergerakan ular besar atau naga tersebut. Munasabah.
Malam yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Menurut Basar, pihak televisyen swasta, krew syarikat penggambaran dari luar negara yang membawa orang putih gila buaya itu juga akan tiba. Hampir seluruh masyarakat Muar telah bersiap sedia untuk mengetahui perkembangan selanjutnya kisah ular yang bertapa di dalam terowong bawah bangunan pasar raya itu. Orang ramai sejak awal lagi sudah memenuhi kaki lima kedai-kedai di sepanjang Jalan Salleh. Apatah lagi Warung Asam Pedas Bersiut, tidak putus-putus dipenuhi para penggemar asam pedas dan juga penggemar berita sensasi. Ayub duduk tersenyum lebar memerhatikan segala telatah manusia yang berpusu–pusu hendak melihat naga Sungai Muar.
Anak-anak muda dari daerah berhampiran Muar seperti Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Tangkak, Jasin dan bandar-bandar bersempadan dengan ‘Muo’ telah berkhemah sejak jam tiga lagi di sepanjang Jalan Salleh, Kota Bentayan,Jalan Maharani dan merayau-rayau di pasar raya Astana.Mereka yang datang dari ceruk kampung ‘Muo’ juga telah bersila di bahu-bahu jalan. Anak muda dari Sagil, Bukit Kepong, Lenga, Kampung Kolam, Sungai Mati, Bukit Serampang, Parit Jawa, Parit Botak, Parit Amat dan pelbagai macam parit lagi telah menunggu dengan setia di sekitar bandar Muar. Operasi menangkap ular atau naga itu akan bermula sebaik sahaja para pekerja pasar raya mengosongkan bangunan tersebut. Mungkin sekitar jam sepuluh malam ke atas, mungkin sampai pagi.
Tiba-tiba orang ramai berkumpulan bergerak menuju ke suatu arah . Kelihatan orang ramai berkerumun. Para wartawan dan jurugambar yang sedang minum-minum di warung kelam kabut menalakan lensa kamera masing-masing. Ular naga sudah keluar agaknya. Setelah disuak-suak orang ramai yang berkerumun, rupa-rupanya berlaku pergaduhan kecil dua orang anak muda dengan seorang nelayan yang sedang melelapkan mata di kaki lima sementara menunggu hendak ke laut. Anak muda itu tersepak kaki nelayan yang sedang enak dilamun mimpi. Pergaduhan kecil itu telah menyebabkan keadaan di sepanjang Jalan Salleh semakin sesak. Ada yang hendak melihat ular naga, ada yang hendak melihat pergaduhan, ada yang meninjau-ninjau dan bermacam-macam lagi.Setelah agak aman, mereka dua anak muda itu menuju ke warung Ayub untuk melegakan perasaan dan menghilangkan dahaga serta panas akibat pertengkaran tadi.
“Lagi lama mereka nak tangkap ular itu lebih baik” Ayub tidak dapat menyembunyikan lagi rasa gembiranya. Dia bertukar menjadi tamak. Seolah-olah dialah naga yang sebenarnya mahu membaham duit para pengunjung warung asam pedasnya.
“Kalaulah tiap-tiap hari begini ramai orang berkunjung ke warung aku...” Ayub terhenti lafaznya di situ dia tak dapat menzahirkan apa yang bakal berlaku dengan rezekinya yang berganda-ganda semenjak berita ular naga itu mula menggoyang bangunan pasar raya itu. Ayub sudah mula mengira-ngira dia akan menambah tiga buah warung cawangannya di seberang sungai itu pula. Tanjung Agas. Di situ pun ramai pekerja kilang elektronik yang berulang alik tiap-tiap hari. Sudah tentu warung asam pedasnya akan menjadi tumpuan mereka. Dia akan menamakan warung ke enamnya itu dengan Warung Asam Pedas Naga Berasap sempena peristiwa naga yang berkokok di bawah bangunan itu.Angan-angan Ayub lenyap apabila dia teringatkan Basar yang sudah lama ponteng makan malam di gerainya itu.
“Ke mana pulak menghilangnya si Basar ni, dah dua tiga hari aku tak nampak kelibatnya.” Ayub bertanya kepada Chan Ah Peng dan Engalavarasu. Mereka berdua mengangkat bahu. Perbualan mereka tenggelam dek keramaian orang yang sibuk mengunjungi sepanjang jalan dari Jalan Salleh hinggalah ke Tanjung Mas. Anak beranak, kecil besar, tua muda berduyun-duyun selepas solat Isya untuk menyaksikan peristiwa penting yang bakal menjadikan Muar sebagai salah satu tumpuan manusia dari dalam negara mahupun luar negara. Jika tidak masakan orang putih tu sanggup menyeberang lautan semata-mata nak datang ke Muar kerana menikmati angin lembut di Tanjung Mas sahaja.


“Mana ada, menyesal aku pergi...!
“ Bukan ular yang besar... pembohong yang besar”
“Aku menunggu sejak senja santak ke subuh, satu ekor ular lidi pun tak de..”
“ Nyaris aku dibuang kerja sebab ponteng nak tengok naga Sungai Muar”
Macam-macam perbualan yang ditelinga oleh Ayub. Dia hanya tersenyum-senyum di dalam hati. Dia meraba-raba dompet duitnya yang kembung selama hampir sebulan heboh tentang naga Sungai Muar. Asam pedasnya yang sudah cair, tidak ada rasa lagi pun menjadi santapan orang ramai kerana lapar dan penat menunggu kemunculan naga Sungai Muar.Setelah berjam-jam menunggu, sisik naga pun tak muncul apatah lagi asap naga. Pasukan penyelamat dan bomba pun tak muncul-muncul. Orang putih yang lancang mulutnya itupun tak kelihatan. Orang ramai rasa tertipu. Mereka terkilan tak dapat menengok dengan mata kepala mereka sendiri ular besar itu ditangkap.
“Yang aku hairan tu, ke mana menghilangnya si Basar sejak kebelakangan ini...” Lazimnya, dialah yang bertunggu tangga melepak kat bangku di hujung warung yang ditambah soyok oleh Ayub sempena menampung jumlah pengunjung yang luar biasa.
“ Dia kena patuk ular ketika menunjukkan kepada orang ramai tempat dia dan kawan-kawannya menangkap ular di terowong itu dulu.” Engalavarasu melaporkan perkembangan terkini kepada Ayub yang sedang menghitung keuntungan berganda-ganda sejak kebelakangan ini.
“ Ha...! di mana dia sekarang,?” Ayub agak pucat bertanya.
“ Di sepital ‘Muo’.” Chan Ah Peng menjawab tanpa mengetahui sebutan hospitalnya itu tidak mengikut bunyi yang betul.
“Maafkan aku Basar... aku tak sangka rancangan aku telah menyebabkan engkau kini terlantar di hospital. Aku hanya mementingkan keuntungan.” Ayub mengunjungi Basar setelah dia mengarahkan pekerjanya menutup warung lebih awal pada malam itu.
“Mana aku tau, aku fikir aku dapat makan free sudah cukup, rupa-rupanya punyalah ramai orang percaya naga Sungai Muar akan muncul pada malam itu sampaikan aku lupa diri. Aku dah dapat balasan. Aku tobat tak mahu buat lagi Ayub.Engkau cari lah orang lain untuk menyebar khabar-khabar angin ini.” Basar cuba untuk mengangkat tangan untuk bersalaman dengan Ayub sewaktu ayub hendak pulang. Ketika itulah Ayub ternampak tangan Basar tersangkut di besi penjuru katil. Bergari.
“ Polis dah datang siasat aku, aku dituduh menyebar khabar-khabar angin yang menyebabkan ramai pihak percaya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sepanjang malam itu. Aku menyesal Ayub.” Basar melafazkan kata-kata penyesalan.
“ Sekarang aku baru mengerti maksud nak memukul anjing tengok-tengok dulu tuannya yang engkau pesan pada aku dulu.” Basar menambah.
Ayub menitiskan air mata kerana terharu dengan kejadian yang menimpa sahabatnya itu. Kerana hendak menolong seorang kawan memajukan perniagaannya kini dia mendapat pelbagai kesusahan pula.Malah tindakannya umpama membungkus api, lambat laun rahsia mereka berdua diketahui orang juga.Ayub menjeling ke kiri kanan dengan ekor matanya . Bimbang kalau-kalau ada anggota polis yang memerhatikannya pula.
“Encik Ayub anda ditahan untuk siasatan kerana bersubahat dengan Encik Basar menyebar khabar-khabar angin sehingga hampir mencetuskan huru hara.Mari ikut kami ke balai.”

“Ambil duit ini,” Ayub mengunjukkan not lima ringgit kepada anak peniaga warung tempat dia minum.
“Jangan heboh-hebohkan cerita bigfoot ini ya, biar pihak yang berkenaan dan bertanggungjawab menyiasatnya.” Ayub memegang erat-erat tangan anak muda yang kebingungan dengan pesanan orang yang tak dikenalinya itu. Ayub mempercepatkan langkahnya meninggalkan warung itu apabila dia melihat kelibat dua orang Mat Salih lengkap berkamera bertanya sesuatu kepada salah seorang pelanggan di warung itu. Di tangan kedua-dua orang putih itu tergenggam erat surat khabar berbahasa Inggeris yang turut memuatkan lakaran gambaran seram makhluk misteri berbulu perang itu.
“Jangan-jangan ...” Ayub semakin pantas bergerak meninggalkan warung mirip reka bentuk warungnya di ‘Muo’ suatu ketika dahulu.
Amala

Amala

Cerpen ini ditulis berdasar kepada kejadian sebenar yang berlaku di sekolah tempat saya mengajar. Kisah benar!

Cerpen
Amala
Oleh Salleh Hashim

PETANG itu Ah Meng beserta lima orang rakan-rakannya bermain bola keranjang seperti biasa.Matahari yang memancar terik ketika mereka baru sampai tadi kini sudah mula mengalah kepada angin petang yang menghembus tubuh mereka. Singlet yang basah lecun dek peluh yang menyimbah-nyimbah ketika mereka bermain tadi mulai mengering kerana tiupan angin segar menerusi padang bola dari arah sebelah sana.
Ah Meng meneruskan permainan tanpa menghiraukan sekumpulan pelajar perempuan yang sudah mula ke padang untuk melakukan senaman dalam pendidikan jasmani. Kelihatan beberapa orang pelajar perempuan berbondong-bondong ke padang diekori oleh Cikgu Jamilah.
“Selamat petang cikgu.” Ah Meng menegur mantan cikgunya pada suatu ketika dahulu.Tahun lepas Cikgu Jamilah adalah guru kelasnya waktu sesi petang.
“Selamat petang.” Cikgu Jamilah membalas teguran Ah Meng. Mata mereka bertentang seketika, ketika itu juga bola keranjang yang melantun dari dinding tempat menyumbatkan bola itu terkena kepala Ah Meng.
“Aduh, sakitnya!!!” Ah Meng mengerang perlahan sambil meraba-raba kepalanya.Cikgu Jamilah kelihatan menahan perut kerana hendak ketawa lucu melihatkan telatah mantan anak muridnya itu.
Namun Cikgu Jamilah meneruskan perjalanan menuju ke padang bola jaring di sebelah sana. Pelajarnya sedang menunggu. Cikgu Jamilah sudah berada di padang ketika suatu bunyi yang agak luar biasa kedengaran menerusi corong telinganya
“PRANG!!!!!!!!”
Ah Meng nampak apa yang sedang berlaku di depan matanya.
II
Cikgu Azizi sedang bermain bola sepak bersama-sama para pelajar lelaki di padang. Cikgu Azizi memang rajin turun ke padang. Umurnya sudah menjangkau 50 –an. Namun usia itu tidak menjadi tembok penghalang baginya bergaul dan bermain bola sepak bersama-sama pelajar yang jauh lebih muda remaja daripadanya. Para pelajar yang sedang bermain bersama-samanya berusia sebaya anak lelakinya yang bongsu.Mereka bermain bersungguh-sungguh. Memanglah benar, jika dikatakan peribahasa ‘orang tua lebih banyak makan garam’, kerana pelajar tersebut hampir mengalah kepada kebolehan Cikgu Azizi menggelecek bola, sekali gus dapat menjaringkan gol walaupun cuba dikawal ketat oleh pemain pertahanan pasukan lawan. Cikgu Azizi hanya menggunakan kudrat yang sedikit, tetapi lebih banyak menggunakan pemikiran dan pengalaman semasa bermain, berbeza dengan pelajarnya yang menggunakan sepenuh tenaga mengejar, menyepak dan menanduk bola.
“Gol!!!!!!!,” pasukan Cikgu Azizi bersorak.
Cikgu Azizi menggenggam tangannya tanda kepuasan. Isyarat badannya itu masih sentiasa kekal, perasaan puas masih dapat dirasakan walaupun sudah beribu kali dia menjaringkan gol sejak daripada zaman remajanya.
“Cikgu Azizi memang hebat,” bisik Azam kepada Amri.
Matahari terik yang sentiasa melontarkan haba kepanasan tidak terasa sama sekali. Mereka begitu ceria ketika di padang bola.Dalam seminggu, sesekali turun ke padang sudah cukup untuk melepaskan tekanan akibat disumbat dengan pelbagai teori di dalam bilik darjah yang kaku dan menghadap papan hitam yang tidak pernah berubah tingkah lakunya itu. Waktu sebeginilah peluang mereka melepaskan segala perasaan dan bebanan yang tertanggung dalam belon minda mereka. Kini belon itu perlu dipecahkan dengan tendangan bola dan jeritan semangat di tengah padang.

“PRANG!!!!!!!!!!”
Bunyi yang agak ganjil kedengaran menyapa gegendang telinga seluruh pelajar yang berada di padang bola.Gegendang telinga Cikgu Azizi turut menyerap bunyi tersebut.
“Mungkin pelajar atau orang luar kemalangan di jalan raya berhampiran sekolah.”Cikgu Azizi bermonolog sendirian.
“Gol!!!!!!”
Pasukan lawan bersorak apabila kali ini giliran pelajar itu meledakkan bola ke jaring pasukan Cikgu Azizi. Cikgu Azizi tersentak. Dia sedang leka sejenak kerana memikirkan bunyi apakah yang kedengaran sebentar tadi, sehingga terlupa mengarahkan para pemain pasukannya bertahan dengan baik. Cikgu Jamilah juga tersentak mendengar jeritan gol daripada pelajar lelaki yang sedang bermain bola sepak itu kerana gelanggang bola jaring bersebelahan sahaja dengan padang bola sepak itu.

III

Cikgu Norita mengajar mata pelajaran Geografi. Cikgu yang cantik jelita itu masih belum mempunyai anak walaupun sudah hampir tahun ke tujuh berumah tangga. Mungkin dia mahu menjaga badan. Kalau melahirkan, sudah pasti susuk tubuh badannya tidak seimbang dengan kecantikan wajahnya. Mungkin itulah sebabnya dia tidak mahu beranak. Fikiran Mastura melayang-layang semasa Cikgu Norita mengajar tentang bagaimana berlaku gempa bumi. Mereka semua berada di dalam bilik darjah tingkatan Satu Amanah . Mastura berangan-angan mendapat sekurang-kurangnya tiga orang cahaya mata jika dia sudah berkahwin dengan jejaka idaman hatinya kelak. Jejaka yang sedang mengisi hatinya bernama Suratman.
“Mastura!”, Cikgu Norita menduga pelajarnya yang sedang berkhayal itu.
“Apakah kesan akibat kejadian akibat gempa bumi di dasar laut yang berlaku di Acheh baru-baru ini?”
“Suratman cikgu.” Jawab Mastura dengan penuh yakin.
“Ha..ha...ha...”, seluruh kelas ketawa berdekah-dekah. Amirul yang selalu mengusik rakan sekelasnya itu hampir bergolek-golek di lantai apabila mendengar jawapan daripada Mastura. Cikgu Jamilah yang berada di gelanggang bola jaring bersama-sama pelajar perempuan juga mendengar deraian ketawa yang kuat daripada kelas Satu Amanah.
“Tentu ada sesuatu yang melucukan,” hati kecil Cikgu Jamilah berkata-kata.

“Itulah, lain kali jangan berkhayal semasa cikgu mengajar.” Cikgu Norita menegur Mastura yang masih terpinga-pinga kerana tidak tahu mengapa seluruh kelas mentertawakan jawapan yang diberikannya. Ternyata dia tidak menumpukan perhatian semasa Cikgu Norita mengajarnya tadi.

“PRANG!!!!!!!!!”
Kali ini semua pelajar tingkatan Satu Amanah terkejut. Bunyi itu terlalu hampir dengan kelas mereka di tingkat satu bangunan Blok K itu. Bunyi apa itu? Dalam hati masing- masing bertanya-tanya. Mereka berpandangan sesama sendiri. Bunyi itu terlalu dekat dengan kelas mereka. Cikgu Norita juga amat terkejut. Hampir terlepas kapur tulis yang dipegangnya. Semua pelajar kelas itu meluru keluar bilik darjah untuk melihat apa yang terjadi. Cikgu Norita tidak sempat untuk menahan mereka lagi.Cikgu Norita juga bergegas keluar dari bilik darjah untuk melihat apa yang berlaku. Bunyi apakah yang sangat luar biasa itu . Belum pernah dia mendengar bunyi yang sekuat dan agak aneh itu.

IV

Petang itu Amala ke sekolah seperti biasa. Dia masih ingat pesanan Cikgu Jamilah supaya membawa pakaian senaman untuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Amala jua masih ingat pesanan Sunthari agar tolong ambilkan lopak penselnya yang terjatuh di atas bumbung susur gajah yang menghala ke dewan sekolah dari bangunan Blok K itu. Semalam ketika mereka bersidai di koridor sementara menunggukan Cikgu Hamidah masuk ke kelas, lopak pensel kepunyaan Sunthari telah terjatuh kerana mereka berebut hendak melihat pensel yang baru dibeli oleh Sunthari. Ketika berebut-rebut itu tanpa sengaja lopak pensel tu terjatuh ke atas bumbung susur gajah itu . Belum sempat mereka berbuat apa-apa , Cikgu Hamidah guru Matematik telah sampai , mereka bergegas msuk ke dalam kelas. Sunthari terpaksa menulis dengan meminjam pensel kepunyaan Amala.
Pada waktu perjalanan ke padang bersama-sama dengan kawan-kawannya, Amala telah mengambil jalan lain kerana teringatkan bekas pensel kepunyaan Sunthari yang masih belum diambil. Tanpa memberitahu sesiapapun Amala melencong naik ke tingkat satu bangunan Blok K. Dia melintasi kelas Satu Amanah. Ketika itu Cikgu Norita sedang mengajar subjek Geografi. Amala juga ternampak Mastura yang sedang berangan-angan. Dia tidak peduli itu semua. Dia ingin ke hujung koridor untuk mengambil lopak pensel kepunyaan Sunthari. Dia rasa bersalah kerana berebutkan pensel itu akhirnya lopak pensel itu terjatuh.
“Nasib baik lopak itu masih ada di situ.” Amala berkata sendirian semasa menjenguk ke bawah di atas bumbung susur gajah yang menganjur menghala ke dewan itu. Ada banyak lagi benda lain di atas bumbung itu. Ada bungkusan gula-gula, getah pemadam, sampah dan sebagainya. Semuanya dibuang ke situ oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab.
“Apakah kesan akibat kejadian....”
Amala sempat mendengar suara cikgu sicantik jelita Norita bertanya sesuatu kepada pelajar kelas Satu Amanah.
Ketika itulah Amala cuba membongkokkan badannya untuk mencapai lopak pensel yang kelihatannya boleh dicapai dengan tangan gempalnya itu. Amala menjingkitkan kakinya sedikit lagi untuk mencapai lopak itu. Tidak kesampaian. Amala menggunakan seluruh kekuatan tenaga dan berat badannya untuk mencapai bahagian hujung lopak pensel itu. Kali ini dia tidak dapat mengimbangi berat badannya lalu dia terjungkit sepenuhnya melepasi benteng koridor bangunan Blok K itu, lalu terjatuh ke atas bumbung susur gajah yang menghala ke dewan sekolah itu.
“PRANG!!!!!!!”
Amala terus terjatuh lalu menimpa lopak pensel.Serentak dengan itu bumbung susur gajah itu juga tidak mampu menahan berat badan Amala lalu jatuh bersama-samanya ke lantai simen di tingkat bawah Blok K.
Seluruh pelajar dan penghuni Blok K terperanjat dengan bunyi itu, Cikgu Azizi yang sedang bermain bola di padang terkejut, Cikgu Norita yang cantik itu terkejut. Pelajar Tingkatan Satu Amanah semuanya terkejut termasuklah Mastura yang sedang terpinga-pinga tadi. Ah Meng yang di padang bola keranjang tidak jauh daripada bangunan Blok K juga terkejut. Paling terkejut adalah Cikgu Jamilah, cepat-cepat dia bergegas ke tempat kejadian di hujung Blok K itu.
Amala terjatuh daripada tingkat satu Bangunan Blok K. Tidak sampai kiraan 30 saat hujung Blok K telah dikerumuni oleh ramai pelajar yang datang dari pelbagai sudut sekolah kerana bunyi PRANG !!!! yang kuat itu belum pernah mereka dengar sebelum ini. Pelajar dari padang bola sepak berkejar ke situ, pelajar dari gelanggang bola keranjang juga berkejar termasuk Ah Meng yang tidak sempat berbuat apa-apa walaupun kejadian itu berlaku di depan matanya kerana ia berlaku dengan pantas.Pelajar dari kantin juga berlari-lari anak ke hujung Blok K.
Memang benar Amala telah terjatuh dari tingkat satu. Tubuhnya tergeletak di atas lantai simen lorong pejalan kaki menghala ke dewan sekolah itu. Orang yang pertama sampai sudah pastilah sicantik jelita Cikgu Norita. Kelasnya paling hampir dengan hujung Blok K. Dia tergamam. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Kemudian muncul Ustadz Hassan yang mengajar di blok yang sama. Ustadz Hassan segera memberi bantuan kecemasan. Ustadz Hassan pun tidak berjaya menyedarkan Amala yang sudah pengsan. Bahagian dahi Amala ada beberapa kesan terhantuk dan luka.Ustadz Hassan cepat-cepat mencelapak tubuh Amala dengan bantuan beberapa orang pelajar segera mengalihkan tubuh Amala dari timbunan atap asbestos yang runtuh bersama-sama tubuh Amala.
Cikgu Azizi segera berkejar ke tempat kejadian. Cikgu Jamilah yang bertanggungjawab kepada pelajar pendidikan jasmani telah berada di tempat kejadian. Cikgu Azizi sempat menoleh ke wajah pucat lesi Cikgu Jamilah .Cikgu Jamilah kelihatan panik. Manakan tidak, Amala adalah pelajar di bawah jagaannya.Bagaimana Amala boleh terlepas daripada kawalannya sewaktu pendidikan jasmani dijalankan? Hampir kering darah dari tubuh Cikgu Jamilah. Dia juga hampir-hampir pengsan.
Amala dengan dipangku oleh Sunthari bersama-sama Cikgu Kathy guru bertugas pada minggu itu telah hilang dibawa van kepunyaan Cikgu Kathy ke hospital yang terletak kira-kira dua kilometer dari sekolah.
Yang tinggal di tempat kejadian ialah serpihan asbestos yang bertaburan, beberapa tompok darah akibat luka di dahi Amala, lopak pensel kepunyaan Sunthari yang cuba diambil oleh Amala juga masih berada di situ dan juga Cikgu Jamilah yang sedang terduduk dengan peluh jantannya terbit sebutir di sudut dahi. Wajahnya masih pucat. Dia terkejut benar dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
“Habislah Cikgu Jamilah kali ini...” bisik hati kecil Cikgu Azizi. Dia menuju ke arah Cikgu Norita meminta agar menenangkan perasaan Cikgu Jamilah, walaupun Cikgu Norita juga masih belum hilang terkejutnya.
“Sabar Jam...” hanya itulah perkataan yang dapat dilontarkan oleh mulut comelnya kepada Cikgu Jamilah. Cikgu Jamilah mulai menangis. Sama ada dia atau siapapun yang bersalah dia akan tetap menjadi sasaran utama pihak yang bakal menyoal siasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Dia guru yang bertanggungjawab ketika kejadian itu berlaku. Sedangkan dia sendiri tidak dapat menerangkan bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku kerana dia berada di padang ketika kejadian. Cikgu Azizi saksinya, pelajar perempuan bermain bola jaring juga saksi utamanya.
“Amala masih di hospital.” Jawab Cikgu Ramlah Penyelia Petang sekolah itu sewaktu Cikgu Azizi bertanya keadaan Amala selepas dua hari kejadian. Beberapa orng guru telah melawatnya. Amala belum dibenarkan pulang. Cikgu Jamilah masih gugup untuk memberi sebarang reaksi. Pada malam kejadian dia tidak dapat tidur. Dia amat resah menunggu apakah hukuman yang bakal diterimanya kelak. Paling tidak mengadap pengetua..., paling mendebarkan ialah bersua muka kedua-dua ibu bapa Amala. Mungkin kepalanya akan ditunjal-tunjal oleh Mr. Rajah bapa Amala ataupun ditengking oleh Puan Ramadevi, ibu Amala. Semua itu mengganggu benaknya sehinggakan dia bermurung pada hari itu. Belum pernah kejadian seumpama itu menimpanya, malah belum pernah pelajar sekolah itu jatuh dari mana-mana tingkat bangunan.
“Bagaimana aku harus menghadapi semua ini.”
Hatinya risau bukan kepalang.
“Aku akan ke mahkamah? aku akan dibuang kerja? Aku akan dikenakan tindakan tatatertibkah?”. Pelbagai andaian menerjah kotak fikiran Cikgu Jamilah yang sudah sedia bercelaru itu. Apa yang hampir pasti adalah dia akan berhadapan dengan dakwaan pihak ibu bapa Amala yang akan menggunakan kesempatan ini untuk menyatakan kecuaian guru mengawasi anak mereka. Jika benar ini berlaku akan berakhirlah episodnya menjadi guru di sekolah.Cikgu Jamilah sedang menghitung-hitung untung nasibnya dengan lengannya terletak di atas dahi sewaktu dia tidak dapat tidur pada malam selepas kejadian itu.
V
Hari ketiga selepas kejadian. Cikgu Jamilah bagaikan tidak percaya dengan berita yang didengarnya. Dia cuba mendapatkan penjelasan daripada Penyelia Petang tentang berita itu. Berita yang juga tidak akan diduga olehnya sama sekali. Dia terkejut untuk kesekian kalinya.
“Amala terjatuh kerana ditolak oleh hantu,” bapa Amala sendiri memberi kenyataan setelah dia bertemu dengan sami di kuil tempat bapa Amala selalu memohon restu. Kuil terkenal di daerah itu telah banyak memberi jasa kepada Mr. Rajah semasa membuat keputusan pada waktu dia buntu. Begitulah laporan berita daripada Penyelia Petang.
“Aaaaa....” mulut Cikgu Jamilah hampir tidak tertutup lagi. Cikgu Jamilah hampir tidak percaya dengan berita itu. Namun di dalam hati kecilnya berbunga suatu harapan baru walaupun dia masih belum sempat melawat Amala di hospital.
“Petang nanti aku akan mengajak Cikgu Norita melawat Amala.”
Walaupun bunyi PRANG!!!! masih mengganggu mindanya. Bagaimana Amala boleh terjatuh juga menjadi igauan tidurnya, kini ditambah dengan kemelut yang mungkin ‘menyelamatkan’ kerjaya gurunya mengapa ibu bapa Amala percaya kemalangan anaknya disebabkan oleh hantu juga merasuk pemikirannya. Sekujur tubuh yang tergeletak di atas lantai simen itu juga masih tersimpan kemas dalam memori mindanya...
“Amala.”






PENGALAMAN MENULIS Cerpen pertama disiar menerusi Majalah Dewan Siswa berjudul ‘Pemenang Sebenar’, beberapa buah cerpen pernah menghiasi majalah tanah air seperti Majalah I ‘Nak Ikut’, juga pernah meraih beberapa hadiah sagu hati dalam pertandingan menulis cerpen seperti Sayembara Penulisan Cerpen anjuran DBP Wilayah Selatan berjudul ‘Asam Pedas, Naga Sungai Muar’, ‘Agi Idup Agi Ngelaban (Berita Harian)Berminat dalam bidang penulisan cerpen berunsur sains fiksyen. Penulis lepasan Universiti Malaya ini sekarang berkhidmat sebagai pendidik di SMK Tun Mamat, Tangkak, Ledang, Johor.
Mengapa Pemenang Sebenar?

Mengapa Pemenang Sebenar?

Secara rasminya, karya penulisan saya yang pertama berjudul Pemenang Sebenar. Sebuah cerpen yang terbit di Dewan Siswa pada tahun 2005. Mulai tarikh itu, saya terus menghasilkan beberapa buah karya kreatif sehinggalah ke hari ini. Di samping itu saya juga menghasilkan beberapa buah buku rujukan dan buku kerja Bahasa Malaysia. Pemenang Sebenar akan mengingatkan saya tentang cerpen tersebut juga sebagai pendorong untuk saya terus berkarya. Pada saya,

Tidak harus menunggu kuat dulu sebelum kita 'berperang'.
Tidak harus lengkap dulu sebelum kita maju.
MAJULAH DENGAN APA ADANYA!! Dalam proses itu kita akan menemui keajaiban2 dari pribadi yang ingin membangun kekuatan.

TERUS BERKARYA

(Peringatan untuk diri saya sendiri)

Jangan berhenti. Bukan karena berhenti akan menghambat laju kemajuan anda. Namun sesungguhnya alam mengajarkan bahwa anda tak akan pernah bisa berhenti.

Meski anda berdiam diri di situ, bumi tetap mengajak anda mengelilingi matahari. Maka bergeraklah, bekerjalah, berkaryalah. Bekerja bukan sekadar untuk meraih sesuatu. Bekerja memberi kebahagian diri. Itulah yang diharapkan oleh alam dari diri anda.

Air yang tak bergerak akan lebih cepat busuk. Kunci yang tak pernah dibuka lebih mudah serat. Mesin yang tak dinyalakan lebih gampang berkarat. Hanya perkakas yang tak digunakanlah yang disimpan dalam laci berdebu.

Alam telah mengajarkan ini; jangan berhenti berkarya, atau anda segera menjadi tua dan tak berguna.